Latest News

Wednesday 7 January 2015

KFA Pertimbang Tindakan Terhadap Gary Steven Robbat




Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sedang menimbang bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap pemain kebangsaan, Gary Steven Robbat berhubung keputusannya menandatangani kontrak dengan kelab selatan tanah air, JDT.

Setiausaha Kehormat KFA Aminuddin Omar berkata, sebagai pemain kelahiran Kedah, Gary yang merupakan bekas pemain Harimau Muda sepatutnya meminta kebenaran daripada KFA sebelum menandatangani kontrak dengan JDT.

"Mengikut peraturan, pemain Harimau Muda perlu kembali ke persatuan negeri masing-masing sebelum dibenarkan ke pasukan atau kelab lain. Bagaimanapun dalam kes Gary, beliau tidak pernah menghubungi KFA," katanya kepada Bernama Isnin.

Aminuddin yang juga Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah berkata, Gary sepatutnya berhubung dengan KFA terlebih dahulu tentang hasratnya untuk berhijrah ke Johor.

KFA, menurut Aminuddin juga sedang menunggu tindakan yang bakal diambil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan kemelut berkenaan status pemain tengah kebangsaan itu.

Gary, anak kelahiran Kulim, merupakan seorang daripada tonggak utama skuad Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee sejak beberapa tahun lepas.

Berikutan prestasi cemerlangnya dalam skuad Harimau Muda, beliau juga dipanggil untuk menyertai skuad senior yang pada ketika itu dilatih oleh jurulatih Datuk K.Rajagobal.

Tahun lepas, jurulatih baharu Harimau Malaya Dollah Salleh turut menyertakan Gary dalam skuad kebangsaan yang berjaya muncul sebagai naib juara Piala AFF Suzuki 2014.

Bulan lepas, Gary mengejutkan dunia bola sepak tempatan apabila dikatakan menandatangani kontrak dengan dua pasukan, JDT dan Pahang bagi saingan Liga Super musim ini.

Ketika ini, pemain tengah kebangsaan yang terkenal dengan corak permainan keras ketika di padang itu berada di Australia bagi mengikuti latihan pramusim bersama-sama pasukan JDT.BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KFA Pertimbang Tindakan Terhadap Gary Steven Robbat Rating: 5 Reviewed By: Unknown
Scroll to Top