Latest News

Monday 12 January 2015

Penduduk Karangan Kuala Krai Sambut Baik Kerajaan Kedah Bina Rumah Transit



KUALA KRAI - Seramai 200 penduduk daripada 53 keluarga di Kampung Karangan di sini, yang rumah musnah akibat banjir 23 Dis lepas, gembira dengan cadangan kerajaan Kedah untuk membina rumah panjang sebagai transit sebelum mereka mendapat kediaman kekal.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu, Muhammad Sulaiman, 44, berkata usaha kerajaan Kedah itu dapat meringankan beban mereka yang kini terpaksa menumpang berteduh di masjid berdekatan.

"Langkah itu memberi harapan kepada kami yang kehilangan rumah dan harta benda dalam sekelip mata akibat banjir besar bulan lepas," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kampung berkenaan di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri Kedah akan membina rumah panjang bagi menempatkan 53 keluarga dari kampung itu yang kehilangan rumah akibat banjir.

Mukhriz berkata pihaknya akan membekalkan barang yang diperlukan seperti kayu, zink dan simen dengan rumah itu akan dibina secara gotong royong oleh pasukan sukarelawan Kedah dan penduduk kampung berkenaan.

Muhammad berkata tanpa bantuan itu mereka tidak mampu untuk membina semula rumah lebih-lebih lagi dalam tempoh terdekat disebabkan kesemua mangsa adalah penduduk miskin yang hanya bergantung kepada sumber menoreh getah.

Seorang penduduk Mohd Amin Yaakub, 34, berkata kebanyakan mangsa gagal menyelamatkan harta benda ketika kejadian kerana tidak menyangka air naik secara mendadak dengan arus sungai terlalu deras hingga menghanyutkan banyak rumah.

Seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Karangan berkata penduduk yang pada mulanya berlindung di masjid kampung itu terpaksa berpindah ke sekolah itu kerana masjid juga dinaiki air.

Tinjauan di sekitar kampung berkenaan mendapati ada penduduk yang mendirikan khemah di kawasan kebun getah yang terletak lebih tinggi kerana bimbangkan kemungkinan berlaku gelombang ketiga banjir.

-- BERNAMA


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Penduduk Karangan Kuala Krai Sambut Baik Kerajaan Kedah Bina Rumah Transit Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top