Latest News

Sunday 25 January 2015

RM131 Juta Untuk Pulih Bekalan Letrik



PADANG TERAP  - Sebanyak RM131 juta telah dibelanjakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memulihkan sistem bekalan elektrik di beberapa negeri yang terjejas akibat bencana banjir pada Disember tahun lalu.

Timbalan Menteri Tenaga, Tek­nologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kos tersebut melibatkan kerja-kerja membaik pulih dan menggantikan pencawang dan stesen janakuasa yang telah rosak di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Katanya, bencana banjir yang berlaku itu menyebabkan 2,788 pencawang dan beberapa buah stesen janakuasa rosak akibat ditenggelami air.

“Kerja-kerja baik pulih ini telah pun selesai dan sistem bekalan elektrik di negeri-negeri yang terlibat kini telah pulih seperti biasa.

“Namun begitu, ada sesetengah kawasan yang terjejas teruk dan kita terpaksa menggunakan bantuan set janakuasa milik TNB untuk menyalurkan elektrik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Stesen Janaelektrik Sekam Padi 9.95 Megawat oleh Majunaka Eco Energy Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Majunaka Eco Energy Sdn. Bhd., Datuk Syed Sobri Syed Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majunaka Eco Energy Sdn. Bhd., Ir. Zaki Anhar.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, pihaknya turut menggalakkan lebih banyak syarikat atau individu me­neroka bidang Tenaga Boleh Ba­haru (TBB) dalam menghasilkan sum­ber tenaga yang bersih dan mesra alam pada masa depan.

“Sehingga kini, kita meluluskan 932 megawat untuk perlaksanaan TBB di negara ini kecuali Sarawak melalui empat subsektor utama iaitu solar, biomas, biogas dan mini hidro membabitkan pelaburan bernilai RM7 bilion.

“Daripada jumlah itu, 243 megawat beroperasi secara komersial di seluruh negara. Disebabkan itu, kita galakkan lebih banyak pihak meneroka bidang TBB ini kerana mempunyai nilai potensi yang tinggi di samping kepelbagaian sumber yang boleh diketengahkan bagi tujuan itu,” katanya.

Tambahnya, ketika ini, kementerian dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) juga sedang meneroka subsektor TBB baharu melalui turbin berasaskan angin dan geotermal sebelum diguna pakai secara komersial pada masa depan. - UM
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: RM131 Juta Untuk Pulih Bekalan Letrik Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top