Tarikh 15 Disember 1990 merupakan malam yang tak mungkin dilupakan oleh seluruh peminat bola sepak Kedah daripada segenap lapisan. Itulah malam di mana Kedah telah menempah sejarah. Pada jam 8.45 malam, 15 Disember merupakan detik yang penuh dengan cabaran bagi pemain dan juga ribuan peminat Kedah di Stadium Merdeka dan ratusan ribu peminat Kedah duduk di depan peti televisyen. Itulah saat-saat yang akan menentukan kalah menangnya pasukan Hijau Kuning. Perlawanan menentang Singapura merupakan perlawanan ke empat bagi Kedah di peringkat akhir pertandingan Piala Malaysia setelah tewas tiga kali berturut-turut kepada Kuala Lumpur di padang yang sama.
Perasaan berdebar-debar para penyokong Kedah pada peringkat permulaan meledak penuh gembira apabila gol pertama dijaringkan oleh V. Sundram Moorthy pada minit ke-44. Gol tersebut diperolehi daripada hantaran Rincic Bratislav dari sebelah kiri kawasan Singapura kepada Husin Jaafar. Husin menanduknya ke dalam kawasan penalti terus kepada Sundram Moorthy yang lantas merembatnya ke gawang Singapura. David Lee tidak dapat berbuat apa-apa. Penyokong-penyokong Kedah bersorak keriangan dalam keadaan hujan yang mulai renyai. Harapan membawa pulang Piala Malaysia sudah terbayang.
Separuh masa pertama yang penuh dengan aksi cemas dan mendebarkan berakhir dengan Kedah mendahului Singapura satu gol kosong.
Menariknya dalam separuh masa pertama itu ialah selama hampir setengah jam penjaga gol kedua-dua pasukan sedikit pun tidak menerima cubaan yang mencemaskan. Ini kerana semua tendangan sudut, tendangan silang dan tendangan bebas berjaya dihalang oleh barisan pertahanan masing-masing.
Penyerang utama Singapura iaitu Abbas Saad dan Alistair Edwards jarang dapat menembusi barisan pertahanan Kedah. Selama 72 minit, Kedah masih dapat mempertahankan kedudukannya. Namun, pada minit ke-73 Singapura berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Alistair Edwards.
Gol tersebut diperolehi daripada tendangan bebas oleh Hasnim Haron yang ditanduk masuk ke dalam gol oleh Alistair Edwards. Kali ini giliran penyokong-penyokong Singapura pula yang melonjak kegirangan sementara penyokong Kedah diam kerana kecewa. Namun, penyokong Kedah tidak menunggu lama kerana setelah tiga minit separuh masa pertama masa tambahan dimulakan, Ng Chew Beng menyumbat bola ke sudut kanan pintu gol Singapura hasil daripada tendangan percuma.
Singapura terus mengasak dan cuba mendekatkan jurang gol tetapi apabila Romli Ghani yang menggantikan Chan Keat Swee yang diusung keluar kerana cedera, menjaringkan gol ketiga bagi Kedah setelah menerima hantaran sudut dari Aziz Azizan, dengan itu terkuburlah harapan Singapura untuk menjadi juara. Detik itu, pertama kalinya selepas 50 tahun Piala Malaysia menjadi milik Kedah lantas mencatat sejarah dalam perkembangan bola sepak Kedah.
22 Disember 2014 akan disimpan rapi dalam lipatan Hikayat Bandar Sejahtera. Penganiayaan, kerakusan kerajaan, dianaktirikan pemimpin dan kecelaruan pentadbiran.
ReplyDelete