Latest News

Monday 19 January 2015

Sultan Kedah Mahu Pelaksanaan Projek Pembangunan Tidak Menjejaskan Alam Sekitar



Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah meminta rakyat memastikan sebarang projek pembangunan yang dirancang serta kegiatan sosio-ekonomi tidak menjejaskan alam sekitar, susulan bencana bencana banjir yang berlaku d negeri-negeri Pantai Timur.

"Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal," titah baginda dalam istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah-darjah serta bintang-bintang kebesaran sempena keputeraan baginda yang ke-87 di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Titah ucapan baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehudin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Sultan Kedah berharap kerja-kerja tebatan banjir yang telah dirancang kerajaan negeri Kedah dan mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera.

"Untuk melindungi nyawa dan harta benda masyarakat umum, sebahagian daripada rakyat yang menduduki kawasan berdekatan sungai perlu menerima tawaran kerajaan persekutuan dan berpindah ke kawasan lebih tinggi, sekali gus tidak menghalang kerja-kerja tebatan banjir tersebut," titah baginda.

Kedah pernah dilanda banjir besar pada 2010, menyebabkan puluhan ribu penduduk negeri ini dipindahkan.

Baginda turut memberi nasihat meminta ibu bapa menghindari anak-anak mereka daripada terjebak dengan fahaman-fahaman yang menyimpang daripada ajaran agama Islam yang sebenar.

"Masih terdapat segelintir rakyat Kedah yang terpengaruh dengan fahaman ekstremis sehingga sanggup menjadi pengganas berani mati di negara asing," menurut baginda.

Baginda meminta pondok-pondok agama di Kedah memainkan peranan mereka bagi memastikan rakyat negeri ini tidak terpengaruh dengan fahaman ekstremisme.

"Pondok-pondok di sekitar Kedah juga perlu memainkan peranan," titah Tuanku Abdul Halim.

Dalam konteks Kedah, Tuanku Abdul Halim bertitah agar Kerajaan Persekutuan segera meluluskan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim di Sungai Petani.

Baginda yakin pembinaan projek tersebut dapat mencetuskan pertumbuhan ekonomi bagi negeri-negeri di utara Semenanjung.

Mengenai keadaan politik di Kedah, baginda berbangga kerana politik di dalam negeri berada dalam kedudukan terkawal.

"Beta sedar bahawa politik yang berpanjangan memualkan rakyat, oleh itu Beta menggesa pemimpin politik di pihak kerajaan dan pembangkang untuk mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Sultan Kedah Mahu Pelaksanaan Projek Pembangunan Tidak Menjejaskan Alam Sekitar Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top