Latest News

Sunday 11 January 2015

Taktik Seludup 53 Kg Ketum Gagal




JITRA - Tindakan licik dua lelaki menyembunyikan 651 ikat daun ketum pada dinding bahagian dalam pintu kereta untuk diseludup ke Thailand terbongkar apabila mereka diberkas polis dalam serbuan Ops Tapis Khas di Tunjang di sini, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Kedah, Superintendan Abd Razak Md Zin berkata, dua suspek ditahan dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu adalah seorang penduduk tempatan dan warga Thailand masing-masing berumur 49 dan 22 tahun.

“Ketika serbuan, dua suspek ini sedang leka memasukkan daun ketum siap diikat dan dibungkus ke dalam ruang kosong di bahagian dinding pintu kereta Honda City menggunakan nombor pendaftaran Thailand.

“Kita percaya kesemua daun ketum seberat 53 kilogram (kg) bernilai RM1,590 ini adalah untuk diseludup ke negara jiran kerana di sana permintaan amat tinggi,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu., di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abdul Rahim Abdullah.

Abd Razak berkata, harga daun ketum dijual di negara jiran adalah lebih tinggi iaitu dalam lingkungan RM50 bagi setiap kg berbanding harga pasaran di sini sekitar RM30.

“Tangkapan dan rampasan itu adalah satu dari 15 serbuan dilakukan pasukan JSJ Narkotik negeri dan IPD Kubang Pasu dalam Ops Tapis Khas di Air Hitam, Kodiang dan Changloon dekat sini pada Rabu dan Khamis lalu.

“Dalam operasi berkenaan kita menahan 13 lelaki tempatan dan seorang warga Thailand berusia antara 22 hingga 59 tahun serta merampas daun ketum seberat 110.70 kg, air ketum 116.2 liter dan tujuh botol ubat batuk,” katanya.

Menurutnya, lima daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan kes dadah dan jenayah.

“Manakala bagi keseluruhan operasi sama yang dilakukan di seluruh Kedah, kita menahan seramai 55 suspek berumur lingkungan 20-an hingga 60-an termasuk masing-masing seorang warga Thailand dan Myanmar serta merampas sebanyak 340 liter air ketum dan 173 kg daun ketum.

“Semua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut sehingga esok (hari ini).

“Rampasan daun dan air ketum di negeri ini pada tahun lalu meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu air ketum daripada 2,701 liter kepada 4,100 liter dan daun ketum daripada 2,143 kg kepada 5,654 kg,” katanya.


Kredit : SinarOnline 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Taktik Seludup 53 Kg Ketum Gagal Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top