Latest News

Thursday 29 January 2015

Tingkatkan Kemasukan Murid ke Kelas KAFA - @MukhrizMahathir



ALOR SETAR - Kedah mahu meningkatkan peratusan kemasukan murid-murid Islam di negeri ini ke Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), yang pada ketika ini hanya berada pada tahap 42 peratus.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri akan mencari pendekatan bagi meningkatkan infrastruktur dan kemudahan kelas-kelas Kafa sebagaimana dicadangkan oleh Jawatankuasa Majlis Guru Besar Kedah.

"Saya sedih kerana hanya 42 peratus murid-murid Islam di negeri ini menyertai kelas Kafa. Kerajaan negeri Kedah akan mencari pendekatan terbaik untuk membantu kelas-kelas Kafa supaya ia dapat ditambah baik," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco hari ini.

Bagaimanapun katanya, peratusan yang rendah itu mungkin disebabkan faktor-faktor seperti ibu bapa menghantar anak mereka ke kelas-kelas agama Islam lain atau tidak cukup tempat di dalam kelas-kelas Kafa.

Kedah menurut Mukhriz juga menghadapi masalah kekurangan guru Kafa dan akan memohon dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya dapat meningkatkan bilangan guru terbabit di negeri ini.

Pada ketika ini katanya nisbah bilangan guru-guru Kafa di Kedah ketika ini adalah, seorang guru bagi 40 murid berbanding seorang guru bagi 25 murid sebagaimana digariskan oleh Jakim.

"Kerajaan negeri Kedah amat mementingkan isu ini (Kafa) kerana kita mahu memastikan pendidikan agama Islam di peringkat sekolah rendah di tahap yang baik. Apa juga penambahbaikan ke arah itu, kita akan laksanakan," katanya.

Mengenai pembinaan 53 rumah bagi mangsa-mangsa banjir di Kampung Karangan, Manek Urai oleh kerajaan negeri Kedah, beliau berkata pembinaan rumah terbabit dijangka siap di dalam tempoh dua bulan.

Setiap rumah dianggarkan bernilai RM15,000 dan kos pembinaannya banyak ditampung oleh agensi kerajaan dan sektor swasta termasuk daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri Kedah, katanya.

Simen bagi pembinaan rumah itu kata Mukhriz disumbang oleh syarikat Lafarge, manakala keperluan kayu-kayan pula disumbang oleh Jabatan Perhutanan Kedah, hasil rampasan daripada penceroboh hutan di negeri ini.

Pembinaan rumah-rumah itu yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya Kedah, memiliki keluasan 448 kaki persegi, dua bilik tidur dan sebuah bilik serbaguna serta tapaknya dinaikkan setinggi dua kaki daripada aras tanah, kata beliau. - Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tingkatkan Kemasukan Murid ke Kelas KAFA - @MukhrizMahathir Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top