Latest News

Thursday 1 January 2015

Yapeim Sara Anak Mangsa Letupan Bom Di Gurun - Jamil Khir



GURUN - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menjadikan anak kepada pasangan suami isteri yang terkorban dalam kejadian letupan bom di Taman Ria Mesra 2 di sini sebagai anak angkatnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, anak kepada pasangan itu akan menerima RM200 sebulan daripada Yapeim di bawah skim ‘Sinar Kasih Yapeim’.

"Yapeim akan mengambil anak yang menjadi yatim piatu di dalam kejadian itu sebagai anak angkatnya. Anak itu akan menerima bantuan RM200 sebulan sehingga ada pihak yang mengambil alih tanggungjawab itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kejadian letupan bom itu hari ini.

Kejadian letupan bom yang berlaku Rabu lepas itu mengorbankan anggota tentera, Koperal Ayub Hashim, 37, anak perempuannya berusia lapan tahun serta kanak-kanak lelaki jirannya yang berusia empat tahun.

Isteri Ayub, Sharifah Azlina Hashim, 30, yang mengalami kecederaan parah di dalam kejadian letupan bom itu, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dua hari lepas.

Pasangan itu mempunyai seorang lagi anak lelaki yang turut cedera di dalam kejadian itu.

Sementara itu, Jamil Khir yang juga anggota Parlimen Jerai berkata, pemilik 60 buah rumah yang mengalami kerosakan akibat kejadian letupan bom itu akan diberikan bantuan kewangan sebanyak RM300 setiap seorang.

"Mereka (pemilik) juga akan menerima bantuan lain seperti baucar makanan bernilai RM200 dan bantuan lain daripada Yapeim," katanya.

Beliau juga berkata, pemilik 15 buah rumah yang rosak teruk akibat kejadian letupan bom itu juga bakal menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000 setiap seorang untuk meringankan beban memperbaiki rumah mereka.

Jamil Khir berkata, selain Yapeim, Umno Bahagian Jerai serta Parlimen Jerai turut tampil membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian letupan bom itu. - Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Yapeim Sara Anak Mangsa Letupan Bom Di Gurun - Jamil Khir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top