Latest News

Thursday, 1 January 2015

Tukun Tiruan Bantu Nelayan Kedah



Sering kali kita mendengar keluh kesah nelayan KECIL, terutama dalam kelas Zon A dalam mengharungi aktiviti mereka. Bukan sahaja bekalan ikan yang semakin berkurangan, tetapi isu pencerobohan bot-bot tunda di kawasan tangkapan mereka turut menghantui mereka.

Kegiatan nelayan bot tunda ini bukan sahaja menyebabkan bilangan ikan yang semakin mengecil, tetapi juga merosakkan tuas-tuas tempat pembiakan ikan yang dibina mereka.

Lantaran itu, pihak Jabatan Perikanan Negeri Kedah mengambil inisiatif membangunkan tukun tiruan jenis keluli bagi membantu mengatasi masalah-masalah tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Perikanan, Johari Ramli berkata penggunaan tukun tiruan keluli ini mampu menarik perhatian ikan dengan cepat kerana ia menghasilkan pertumbuhan plankton lebih cepat. Malah, binaan yang kukuh akan menghalang bot-bot besar dari melabuhkan pukat di situ.

Ini berikutan kejayaan penggunaan tukun jenis tayar, konkrit dan bangkai kapal yang diperkenalkan oleh pihaknya sejak tahun 1975 lagi.

“Tukun yang berdaya tahan selama 50 tahun ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada hampir 4000 nelayan di pantai barat Kedah,” ujar Johari selepas melancarkan Program Melabuhkan Tukun Tiruan Keluli Negeri Kedah 2014 di Kuala Jerlun baru-baru ini.

Tukun keluli yang mendapat kepakaran tempatan ini turut mendapat kerjasama dari Jabatan Pengairan dan Saliran dari segi pemantauan teknikal semasa pembinaannya.

Sementara itu, menurut Pengarah Perikanan Kedah, Teo Siong Wan, pihaknya telah mendapat peruntukan RM2.5 juta dari kerajaan untuk pembinaan tukun tersebut.

Pihaknya telah membina 55 buah tukun yang setiap satunya mempunyai berat 13 tan dan telahdilabuhkan di perairan Kedah, dari Kuala Sala sehingga Kuala Jerlun secara berperingkat bemula Oktober lepas.

“Kami telahmengadakan dialog dengan nelayan tempatan dalam mengenalpasti lokasi yang sesuai untuk meletakkan tukun dan kerjasama yang terjalin ini telah membuahkan hasil”, kata Teo

Ujar Teo lagi, tukun yang telah diturunkan dua minggu sebelum ini telah menjadi pusat tumpuan ikan-ikan bernilai tinggi. Antaranya kerapu, tenggiri dan jenahak.

“Pada tahun 1985, pendaratan ikan di Kedah adalah sebanyak 75,615 tan metric dan meningkat kepada 112,876 tan metrik pada tahun 2013,” tambah Teo perkara ini diakui oleh Pengerusi Komuniti Nelayan Kuala Jerlun, Shukri Ismail. Menurutnya, semenjak program tukun ini diperkenalkan, beliau mampu memperolehi ikan sehingga 60 kg sehari, peningkatan hampir 100 peratus berbanding sebelum ini.

Di sampingitu, nelayan-nelayan ini turut menawarkan perkhidmatan bot memancing untuk kaki pancing dan ini memberikan pendapatan yang lumayan kepada mereka kerana permintaan ke atas perkhidmatan mereka semakin meningkat berikutan penambahan jumlah ikan di kawasan tersebut.

- UMTK 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tukun Tiruan Bantu Nelayan Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top