Latest News

Tuesday 10 February 2015

Anwar Lucut Jawatan Ahli Parlimen


Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini lucut kelayakan sebagai seorang anggota Parlimen berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun setelah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara itu bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya tujuh tahun lalu.

Ini adalah kali kedua, Anwar lucut kelayakan sebagai anggota Parlimen setelah didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum penjara melebihi setahun.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas terhadap sabitan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang ketika itu berusia 23 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, mengetuai panel lima anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Sebelum ini pada 14 April 1999, Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas empat tuduhan rasuah terhadapnya.

Anwar, 67, dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang mula bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum keenam pada April 1982 atas tiket Barisan Nasional dengan mengalahkan calon PAS Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi.

Beliau telah mempertahankan kerusi itu sehingga dijatuhi hukuman penjara pada 14 April 1999, dan kerusi tersebut dimenangi oleh isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum ke-10 pada November 1999.

Dr Wan Azizah telah terus mempertahankan kerusi itu sehingga meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding kerusi itu dalam pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh pada Ogos, 2008.

Anwar yang dibebaskan daripada penjara pada 2 Sept 2004, tidak dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh pembebasan.

Anwar memenangi semula kerusi itu dengan mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk Arif Shah Omar Shah dengan memenangi majoriti 15,671 undi.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Anwar Lucut Jawatan Ahli Parlimen Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top