Latest News

Tuesday 3 February 2015

Kata-Kata Nasihat Ds Hj @MukhrizMahathir yang Patut Kita Baca!



Di bawah ini penulis sertakan teks ucapan penuh Dato Seri Hj Mukhriz ketika beliau berucap dimajlis penyampai ganjaran kepada atlet sukan Kedah.

baca dengan teliti dan fahami kata-kata beliau,


Bismillah hirahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t.

Salam Kedah Aman Makmur
Salam Kedah Serata-rata

Yang Berhormat
Encik Aminuddin bin Omar,
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan, Warisan dan Badan Bukan Kerajaan

Yang Berhormat
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan,

Yang Berusaha
Encik Muhammad Mahazi Haji Ibrahim,
Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah,

Dato’ Dato’, Datin Datin, Tuan Tuan dan Puan Puan serta seluruh warga sukan Negeri Kedah Darul Aman.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian dan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya dapat kita bersama-sama berhimpun di dewan yang indah ini demi meraikan para atlit, jurulatih-jurulatih, pegawai-pegawai pasukan dan ikon serta penggiat sukan pelbagai peringkat di Negeri Kedah Darul Aman ini.

2. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Pengerusi Majlis Sukan Negeri, Pengarah serta kakitangan Majlis Sukan Negeri Kedah kerana berjaya mengumpulkan seluruh warga sukan Kedah Darul Aman di dalam satu majlis yang gilang gemilang ini.

3. Di petang yang berbahagia ini kita berkumpul untuk meraikan para pemenang pingat SUKMA ke-17 di Perlis tahun 2014. Bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada para wira dan wirawati sukan negeri Kedah kerana berjaya mengharumkan nama negeri tercinta ini di persada Sukan Malaysia.

4. Sesungguhnya ganjaran yang diberikan hari ini amatlah kecil berbanding dengan titik peluh pengorbanan dan kesusahan yang dilalui oleh para atlit sekalian demi memartabatkan nama Kedah Darulaman di persada sukan tanahair. Kita juga berharap ganjaran ini akan menjadi galakan dan dorongan kepada semua untuk mengejar lebih banyak kegemilangan di peringkat sukan yang lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik.

5. Seperti pepatah Inggeris ada mengatakan “A journey of a thousand miles starts with one small step”. Kita mengharapkan bahawa selepas ini para atlit kita ini akan terus melakarkan “Giant Leap” dalam sukan masing-masing.

6. Pada hari ini juga Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri memberi pengiktirafan kepada ikon-ikon sukan tanahair dari Kedah Darul Aman. Saudara-saudari sekalian merupakan penanda aras kecemerlangan dalam sukan bagi semua atlit-atlit muda dan pelapis Kedah. Kita sedar bahawa pencapaian luar biasa saudara-saudari sekalian merupakan hasil dari usaha yang luar biasa.

7. Pengorbanan masa, tenaga dan ada kalanya wang ringgit yang tidak terkira menjadi pelaburan demi sebuah kejayaan. Dijulang semasa menang, tak kurang juga kritikan yang diterima di kala kalah menjadi asam garam dalam kehidupan saudara-saudari sekalian. Kesediaan menghadapi risiko kecederaan bak kata pepatah “patah sayap bertongkat paruh” namun perjuangan harus diteruskan. Atas segala pengorbanan ini, pihak Kerajaan Negeri ucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga.

8. Kesempatan pada hari ini juga, kita ambil untuk mengumpul dan meraikan para penggiat sukan yang terdiri daripada pegawai-pegawai persatuan sukan negeri dan guru-guru sukan yang menjadi tulang belakang kegiatan pencarian serta pengembangan bakat sukan negeri Kedah, terutamanya di peringkat akar umbi. “Ladies and gentlemen, you are our unsung heroes. We would like the world to know how thankful we are to you and your efforts towards sporting excellence”

Warga sukan Negeri Kedah yang saya hormati sekalian,

9. Pelan Transformasi Sukan yang telah dilancarkan tahun lalu mengandungi 7 TERAS yang menjadi pemangkin kepada kejayaan negeri Kedah. Setakat hari ini, Majlis Sukan Negeri Kedah telah berjaya merealisasikan 3 anjakan iaitu :

Pemurnian dan pengukuhan Majlis Sukan Daerah, pelantikan Setiausaha Kerja di setiap daerah terbabit dan mewujudkan Pusat Satelit Institut Sukan Negara di Alor Setar.

10. Seterusnya Majlis Sukan Negeri Kedah juga dalam masa terdekat akan menjalankan 3 lagi anjakan Transformasi Sukan iaitu :

Liga Bolasepak antara daerah Bawah 19 Tahun bagi merebut Piala YAB Menteri Besar Kedah Darulaman yang akan bermula pada 21 Februari nanti;

Kejohanan Liga Super Sepaktakraw Remaja Antara Daerah yang akan bermula dalam bulan Mac tahun ini; dan

Menghidupkan kembali Sukan Kedah SUKDA pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya bulan Mac tahun depan.

11. Anjakan ketujuh Transformasi Sukan Negeri Kedah iaitu menjalinkan persefahaman pintar melalui “Memorandum of Understanding” dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan IPT di Kedah akan direalisasikan apabila kesemua langkah dalam teras tersebut telah difahami dan dipenuhi.

12. Dengan termeterainya perjanjian tersebut, kita akan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian demi meneruskan kelangsungan pembangunan sukan di peringkat tunas dan remaja dalam lingkungan usia 7 hingga 21 tahun. Ini termasuklah usaha memperkasakan Sekolah Sukan Negeri dan mewujudkan Sekolah Tunas Sukan di daerah-daerah yang strategik. Kerajaan Negeri melalui MSN akan membantu JPN dan Sekolah Sukan Negeri ini di bidang-bidang yang sesuai demi kepentingan bersama.

13. Kerajaan Negeri berharap ketujuh-tujuh teras transformasi sukan ini akan menghasilkan kecemerlangan berterusan terutamanya dalam beberapa sukan terpilih yang secara tradisinya menjadi kebanggaan seluruh warga Kedah iaitu bolasepak dan sepaktakraw. Ini bukti bahawa kerajaan menepati janji seperti yang termaktub dalam manifesto pilihan raya yang kita akan membawa kembali kegemilangan Kedah di dalam kedua-dua bidang sukan ini.

Hadirin hadirat pencinta sukan sekalian,

14. Kerajaan Negeri Kedah amat mementingkan penerapan budaya Sportsman, Scholar, Gentleman di kalangan atlit, pegawai serta penggiat sukan di negeri ini. Kefahaman bahawa setiap ahli sukan harus mempunyai “Sportsmanship” yang tinggi mengatasi “gamesmanship” di mana budaya “win at all cost” menjadi pegangan.

15. Kita mahukan semua atlit Kedah menyedari bahawa matlamat kemenangan tidak pernah menghalalkan cara kita mengejarnya. Kita mahu semua atlit sedar bahawa walaupun hanya ada satu pemenang dalam pertandingan, kita masih lagi boleh mengecap kejayaan. “We might lose the game but we must never lose our dignity.” Pepatah Inggeris yang masyhur ada menyebut “Form is temporary, Class is permanent”.

16. Atlit Kedah juga haruslah berjiwa “Scholar” di dalam mengejar kejayaan. Dunia sukan dewasa ini dipenuhi dengan banyak ilmu-ilmu baru yang dicapai melalui program “Research and Development” yang sangat teliti dan efektif. Atlit yang masih lagi berlatih melalui “pendekatan Tok Guru silat” iaitu tok guru pandai 7 buah, disimpan 1 buah bila diturunkan kepada muridnya, agar tiada murid yang melawan tok guru, seharusnya dielakkan.

17. Para atlit dan jurulatih harus menghayati sifat warisan Junjungan Besar kita iaitu “Tabligh dan Fathonah”. Mereka harus bijaksana dan menyampaikan. Di zaman ICT ini, semua maklumat terkini berada di hujung jari. Hanya kemahuan untuk cemerlang yang kuat akan menghasilkan kejayaan yang berterusan.

18. Sikap “Gentleman” di kalangan penggiat sukan juga harus dipupuk secara menyeluruh. Kita tidak mahu atlit, jurulatih, pegawai hatta penyokong sekalipun, yang berjiwa samseng, tidak mematuhi pengadil dan undang-undang serta tidak menghormati lawan. Apabila kalah, semua pihak disalahkan. Pengadil berat sebelah, penganjur tipu, padang tak elok dan sejuta alasan remeh dibangkitkan.

19. Bukan setakat itu, tanpa sifat “gentleman”, seseorang atlit itu juga akan bongkak dan riak di kala kemenangan dan “vengeful” serta berdendam ketika menghadapi kekalahan. Sanggup mencederakan pasukan lawan bila keputusan tidak berpihak kepadanya. Warga sukan Kedah Darul Aman tidak begitu. Kita semua ialah pendokong setia sifat Sportsman, Scholar, Gentleman.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

20. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah amat berharap bahawa sukan bukan hanya dimajukan sebagai aktiviti untuk rekreasi, kesihatan dan mencari pemenang. Kerajaan kita amat berharap bahawa dunia sukan boleh diterokai sebagai kerjaya, samada sebagai atlit, pengadil atau jurulatih. Aktiviti sukan itu sendiri boleh dijadikan punca pendapatan bagi “event organiser”, pengeluar peralatan, “sports tourism operator” serta pelbagai lagi industri hiliran yang boleh dihasilkan melalui pengelolaan pertandingan serta aktiviti sukan secara umumnya. Kerajaan Negeri Kedah sedar bahawa sukan boleh dijadikan sebagai industri yang menjana pendapatan selaras dengan Wawasan 2020 ke arah Negara Maju berpendapatan tinggi.

Pencinta dan penggiat sukan yang dikasihi sekalian,

21. Di dalam mengejar kecemerlangan di bidang sukan, tidak boleh tidak, kita membicarakan apa yang kita panggil “Golden Triangle” iaitu Segitiga Emas antara Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Persatuan Sukan Negeri (PSN). Tanpa kerjasama erat antara ketiga-tiga entiti penting ini, kecemerlangan sukan tidak akan terhasil. Kerajaan Negeri Kedah sedar bahawa JPN mempunyai aset modal insan baik dari segi atlit mahupun kepegawaian yang besar. Semua tunas bakat sukan disemai dari seawal 7 tahun hingga 17 tahun di sekolah.

22. Kejohanan MSSD, MSSK dan MSSM merupakan arena awal bagi melahirkan bakal-bakal wira sukan Negara sehingga ke peringkat antarabangsa. Tanpa kerjasama dari JPN untuk mendapatkan atlit serta jurulatih tunas dan bakat sukan di sekolah, MSN seperti memancing ikan di padang pasir yang kering kontang. Atlit yang dikesan bakat mereka seterusnya akan dikembangkan lagi menerusi program remaja dan belia khususnya melalui penglibatan di Sukan Malaysia (SUKMA) sehingga mencapai usia 21 tahun. Dan kemuncak kerjaya atlit berkenaan berada di tangan persatuan-persatuan negeri dan negara yang mengendalikan pasukan senior di kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.

23. Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia menentukan penyertaan dan kecemerlangan di peringkat antarabangsa melalui atlit yang dikeluarkan oleh PSN-PSN yang terbabit. Saya sedar bahawa tibalah masa untuk ketiga-tiga pihak ini “bermimpi, mimpi yang sama walaupun tidur katil lain-lain”. Elakkan “silo mentality” atau seperti pepatah Melayu “enau dalam belukar melepaskan duri masing-masing”.

24. Majlis Sukan Negeri harus mengambil inisiatif untuk mengumpulkan ketiga-tiga pihak berkepentingan dalam sukan ini untuk bersemuka dan merancang strategi secara “synergy”. Kita mesti bergerak bukan hanya secara agresif, malah menyanyi senada, menari seirama, demi merealisasikan visi “Kedah Aman Makmur Memacu Transformasi”.

25. Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman juga ingin mengambil kesempatan di majlis ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada syarikat-syarikat korporat dan perseorangan yang telah banyak memberi sumbangan terutamanya di bidang kewangan dalam membiayai kegiatan-kegiatan sukan di Kedah. Sumbangan ini memberi kesan yang amat positif dalam memupuk budaya bersukan dikalangan rakyat Malaysia selaras dengan slogan “Sukan Untuk Semua” dan konsep “Malaysia Cergas”. Penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada syarikat RAFFELINA SDN BHD yang telah memberi sumbangan “jersey home and away” kepada semua pasukan yang bertanding dalam liga bolasepak daerah 2015 ini. “A friend in need is a friend indeed”.

26. Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam majlis ini terutamanya Yang Berhormat Pengerusi Belia dan Sukan, Pengarah serta segenap warga Majlis Sukan Negeri Kedah di atas kejayaan penganjuran acara ini dengan sempurna.

27. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Liga Bolasepak Antara Daerah Bagi Tahun 2015. Selamat Bertanding.

28. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarokatuh
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kata-Kata Nasihat Ds Hj @MukhrizMahathir yang Patut Kita Baca! Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top