Latest News

Thursday 5 February 2015

KPDNKK Kedah Tingkat Penguatkuasaan Banteras Aktiviti Seludup Minyak - Pengarah



Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah tidak menolak kemungkinan berlakunya peningkatan cubaan menyeludup minyak petrol dan diesel ke negara jiran berikutan penurunan harga bahan api itu di Malaysia.

Pengarahnya Mohamad Fitri Hassan berkata dengan harga minyak di Malaysia yang semakin murah, penyeludup mungkin memperolehi keuntungan yang lebih tinggi sekiranya menyeludup bahan api itu ke negara jiran.

Harga runcit bagi petrol RN95 dan diesel di Malaysia ialah RM1.70 seliter manakala harga seliter petrol di Thailand ialah RM3.78 dan RM2.78 bagi seliter diesel.

"Kita akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan bagi menghadapi kemungkinan (peningkatan) penyeludupan minyak petrol dan diesel ke negara jiran," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Mohamad Fitri berkata sejak bulan lepas hingga sekarang pihak penguatkuasaan KPDNKK Kedah telah berjaya mematahkan empat cubaan penyeludupan minyak petrol dan diesel.

Tahun lepas menurutnya, KPDNKK Kedah menerusi 'Ops Titik' telah berjaya menggagalkan 99 kes penyeludupan minyak petrol dan diesel bernilai RM1.4 juta dengan Alor Setar mencatatkan kes terbanyak iaitu 70.

Bukit Kayu Hitam yang bersempadan dengan Thailand mempunyai 14 kes, diikuti Kulim (tujuh) Langkawi serta Baling masing-masing tiga kes dan dua kes di Sungai Petani.

Menurut beliau, kegiatan penyeludupan minyak itu bukan sahaja berlaku di kawasan-kawasan sempadan, tetapi turut berlaku di lokasi berjauhan daripada kawasan sempadan.

Penyeludup terbabit, katanya, mungkin akan mengumpulkan minyak itu daripada lokasi-lokasi yang jauh daripada sempadan dengan negara jiran, sebelum membawanya ke kawasan sempadan untuk diseludup.

Mengenai 'Ops Catut' pula, Mohamad Fitri berkata, sejak awal tahun sehingga kini pihaknya telah melakukan 20,006 pemeriksaan terhadap premis-premis perniagaan di seluruh negeri Kedah.

Hasil daripada pemeriksaan itu, sebanyak 51 kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga yang melakukan pelbagai kesalahan, katanya.



-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KPDNKK Kedah Tingkat Penguatkuasaan Banteras Aktiviti Seludup Minyak - Pengarah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top