Latest News

Monday 9 March 2015

Konvensyen UMNO Kedah Platform Persediaan Hadapi PRU-14



Konvensyen UMNO Kedah pada Sabtu dan Ahad depan bakal menjadi platform percambahan idea sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Othman Aziz.

Konvensyen yang bakal dirasmikan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu akan dihadiri perwakilan daripada kesemua 15 Bahagian Umno di Kedah serta pemimpin di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Konvensyen dua hari itu akan membentangkan beberapa usul termasuk ekonomi serta pembangunan Kedah. Antara rancangan ekonomi Kedah yang akan dibentangkan oleh perwakilan termasuk cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata rundingan meja bulat juga akan diadakan dalam konvensyen itu yang melibatkan 695 PDM bagi mendapatkan input secara langsung daripada pemimpin di peringkat akar umbi.

"Kita mahu semua pihak terlibat, bagi membolehkan kita mengetahui apa yang ingin disuarakan oleh ahli UMNO mengenai perspektif masyarakat terhadap UMNO dan seterusnya dijadikan panduan untuk mengukuhkan parti," kata Othman.

Othman juga berkata, 10 ahli akademik daripada beberapa pusat pengajian tinggi juga dijemput bagi memberi input ilmiah yang akan digunakan sebagai rujukan persediaan PRU14.

Majlis penutupan konvensyen pada 15 Mac akan dilakukan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Konvensyen UMNO Kedah Platform Persediaan Hadapi PRU-14 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top