Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri Datuk Badrol Hisham Hashim berkata peringatan itu perlu diberikan berikutan terdapat pengusaha chalet menggunakan air sungai dan air terjun untuk kegunaan harian mereka.
"Penggunaan air terawat yang dibekalkan SADA terbukti selamat untuk ditakungkan dalam kolam mandi dan memasak. Sumber air didapati dari sungai boleh digunakan untuk tujuan lain," katanya ketika melakukan tinjauan di Chalet Salak Denai, di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri juga menggesa pengusaha chalet agar mematuhi syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan kelulusan penuh menjalankan perniagaan tersebut.
Badrol Hisham berkata sebahagian besar daripada lebih 200 buah chalet di negeri ini, hanya memiliki kelulusan sementara untuk menjalankan operasi masing-masing disebabkan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh PBT.
Pengusaha chalet yang memiliki kelulusan sementara akan dipanggil oleh pihak PBT untuk proses perbincangan dan sekiranya masih tiada perubahan, pihak berkuasa tidak teragak-agak menutup operasi mereka, katanya.
"Ini kerana rata-rata pengusaha chalet membina bangunan secara tidak teratur dengan membina berdekatan sungai dan di tepi jalan yang mana melanggar syarat yang ditetapkan," katanya.
Pada Disember tahun lepas, tiga beradik dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selepas disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus atau 'Leptosporosis' selepas mengunjungi sebuah pusat rekreasi di negeri ini.
Seorang daripada mereka meninggal dunia.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment