Latest News

Tuesday, 3 March 2015

Majlis menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan kini di #Kedah



Semalam berlangsung Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan, bertempat di Dewan KUIN, Alor Setar.

Dato Seri Hj Mukhriz Tun Mahathir dijemput untuk merasmikan majlis ini bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Seri Jamil Khir Baharom.

Dato Seri Mukhriz, dalam ucapannya menekankan perpaduan ummah dan mahu umat Islam mengamalkan cara Islam sebenar dan tidak terpengaruh dengan anasir luar.

Dibawah ialah teks penuh ucapan beliau,

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi  Wabarakatuh.

1.​Terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjat kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan taufik dan inayah-Nya, Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-36 bagi tahun 1436H/2015M telah berjaya diadakan. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur khususnya kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan dan amanat pada majlis perasmian pembukaan ini.

Hadirin dan Hadirat yang dikasihi sekalian.

2.​Menghafaz al-Quran merupakan sesuatu perkara yang agak baharu dalam masyarakat umat Islam khususnya di Malaysia. Semenjak beratus tahun Islam bertapak di Tanah Melayu khususnya di kalangan orang-orang Melayu, kita hanya berpada dengan membaca al-Quran dengan bertajwid dan berlagu.

3.    Bacaan bertajwid diajar kepada kita dan anak-anak kita semenjak kecil dan hasilnya kita melihat bagaimana lahirnya tokoh-tokoh di kalangan orang-orang Melayu Islam yang mempunyai kemahiran dengan hukum-hakam tajwid al-Quran. Di samping membaca dengan bertajwid, orang-orang Melayu kita juga terkenal dengan kemahiran bertarannum. Pelbagai kaedah lagu diajar dan disebarkan ke dalam masyarakat, ini merupakan salah satu perkara yang boleh kita banggakan.

Hadirin-hadirat yang dirahmati sekalian.

4.​Di antara perkara awal yang kita laksanakan ialah menubuhkan Maahad Tahfiz al-Quran di negara kita. Pengajian yang menggabungkan di antara akademik, arab dan hafazan al-Quran di peringkat sekolah menengah adalah merupakan yang pertama seumpanya di negara kita. Ini adalah usaha untuk mengetengahkan usaha menghafaz al-Quran agar umat Islam yakin bahawa tidak ada apa-apa makna hidup di dunia tanpa panduan wahyu al-Quran. Hasilnya, ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah menghafaz al-Quran.

5.​Semenjak kewujudan Maahad Tahfiz al-Quran, produk huffaz telah berjaya dikeluarkan dan sedang berkhidmat di dalam pelbagai bidang di tengah-tengah masyarakat. Ini masih belum termasuk bilangan madrasah-madrasah tahfiz swasta yang telah banyak dibina di seluruh negeri. Alhamdulillah, kita mengharapkan agar minat masyarakat untuk menghantar anak-anak menghafaz al-Quran berterusan. Sesungguhnya, produk-produk huffaz yang kita lahirkan jauh lebih berharga dari sebarang produk-produk pembangunan yang bersifat lahiriah dan mengenepikan pembangunan rohani.

Hadirin dan Hadirat Sekalian,

6.​Selain itu, masyarakat telah nampak berminat dengan pengajian-pengajian tafsir di dalam usaha memahami isi kandungan al-Quran. Kelas-kelas tafsir yang diadakan di masjid-masjid tumbuh merata-rata dengan menggunakan pelbagai jenis kitab yang telah disusun oleh para ulama. Saya mencadangkan agar para huffaz turut sama didedahkan kepada metodologi penafsiran al-Quran untuk memudahkan mereka menyebarkan kefahaman al-Quran apabila berada di tengah-tengah masyarakat kelak.

7.​Kita harap agar lahirnya lebih ramai tokoh-tokoh dari negara kita yang dapat berhujah dengan menggunakan al-Quran di dalam menghadapi serangan dari pihak-pihak luar. Kita sering  mendengar nama-nama seperti Almarhum Ahmad Deedat, Harun Yahya dan nama-nama lain di peringkat antarabangsa yang terkenal sebagai tokoh-tokoh yang berhujah dan menulis dengan menggunakan al-Quran.  In shaa Allah, kita mengharapkan maahad-maahad tahfiz yang wujud di seluruh negeri di Malaysia dapat berperanan ke arah melahirkan tokoh-tokoh seperti itu.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati sekalian.

8.​Penganjuran majlis seumpama ini diharap mampu menarik minat umat Islam terutamanya golongan muda-mudi di negeri ini untuk menghayati al-Quran itu sendiri. Baginda Rasulullah SAW juga menerima wahyu secara hafazan, dan ia turut diamalkan oleh para sahabat sebelum kaedah penulisan al-Quran diperkenalkan pada zaman Saidina Uthman Al-Affan. Oleh yang demikian, majlis menghafaz ini adalah kesinambungan daripada sunnah Rasulullah SAW, dan diterajui oleh golongan para sahabat, tabi’in dan seterusnya umat Islam sehingga hari ini yang diharapkan dapat dikekalkan tradisi ini.

Sidang Hadirin yang dirahmati Allah SWT,

9.​Menghafaz al-Quran berbeza daripada membaca ataupun melagukan bacaan al-Quran atau disebut sebagai tarannum. Ia bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia memerlukan usaha yang gigih, kesabaran dan minat yang mendalam daripada individu itu sendiri. Secara teorinya, peringkat usia yang baik dan sesuai untuk menghafaz adalah dalam lingkungan usia 5 hingga 23 tahun, dan ia dikira sebagai suatu tempoh yang sesuai dan mudah untuk para penghafaz. Seseorang yang ingin menjadi penghafaz al-Quran yang terbaik memerlukan kepada kefahaman dan penghayatan kepada isi di dalamnya. Mereka juga perlu mengikut garis panduan yang sistematik bagi memastikan ayat-ayat tersebut mudah dihafal dan kekal di ingatan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

10.   Bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah, saya bersama barisan anggota pimpinan kerajaan akan terus memastikan pengajaran dan pembelajaran al-Quran akan terus subur di Negeri Kedah yang kita cintai ini. Banyak sekolah-sekolah agama terutamanya Maahad Tahfiz telah dibina.

11.   Pihak kerajaan akan sentiasa membantu sekolah-sekolah ini dengan pelbagai bantuan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Majlis Agama Islam Kedah, Yayasan Islam Negeri Kedah dan lain-lain lagi. Selain itu, saya juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas bantuan yang disalurkan seperti bayaran elaun Guru-Guru KAFA dan sebagainya.

  Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

12.​Bersempena tema Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun ini iaitu “ Perpaduan Nadi Transformasi Negara”, saya ingin mengajak seluruh rakyat Negeri Kedah dan rakyat Malaysia pada amnya agar dapat bersama-sama kerajaan bagi menjayakan agenda penyatuan dan perpaduan selari dengan tuntutan Allah SWT yang menyeru kepada perpaduan seperti  terdapat dalam Surah al-Hujurat, ayat 13, Allah SWT berfirman yang bermaksud:


" Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."



13.​Justeru, saya percaya bahawa kita mampu memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dari segenap lapisan. Meskipun ia merupakan suatu proses yang memakan masa yang lama tetapi kita harus menunjukkan tahap kematangan kita berasaskan nilai hormat-menghormati antara satu sama lain. Jika ini kita boleh amalkan, maka saya percaya banyak perkara-perkara yang tidak diingini dapat kita elakkan. Seterusnya, saya ingin mengajak segenap lapisan rakyat untuk sama-sama memperkukuhkan ukhuwah dan perpaduan dalam menghadapi apa cabaran yang mendatang.


  Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian


14.​Saya amat optimis bahawa perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat adalah tunggak kepada kejayaan ummah dan negara. Kejayaan Baginda Rasululullah SAW membangunkan negara Madinah menjadi sebuah kota yang kuat dan disegani adalah hasil daripada perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat. Baginda telah berjaya menyatukan segenap lapisan rakyat yang merangkumi kaum Muhajirin dan Ansar serta kaum-kaum lain yang tinggal di Madinah.


15.​Dalam konteks negeri dan negara kita Malaysia bahawa kerajaan telah dan sentiasa mengambil langkah-langkah yang tegas untuk memelihara kesucian agama Islam di negara ini. Ini kerana perpecahan, kemasukan ajaran atau fahaman yang menyeleweng bukan sahaja memudaratkan akidah ummah, tetapi juga akan mengakibatkan berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam.

16.    Dalam hal ini, semua agensi agama sentiasa kerjasama untuk terus memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang cuba menggugat kesucian agama Islam dan yang cuba memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan umat Islam samada di peringkat negeri atau pun persekutuan.

  Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

17.​Untuk akhirnya, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Induk dan Pelaksana serta Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-36 bagi tahun 1436H/2015M , para hadirin, para peserta seluruh Malaysia serta semua pihak yang turut sama terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini.

18.   Kepada seluruh para peserta, berusahalah dengan sebaik-baiknya dengan mempamerkan persembahan hafazan yang terbaik dan berkualiti . Mudahan-mudahan ia menjadi qudwah dan contoh ikutan yang baik kepada seluruh masyarakat untuk turut berinisiatif untuk memenuhi dada dengan kalimah-kalimah Allah yang mulia ini.

19.    Akhir kata dengan sucihati saya merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-36 bagi tahun 1436 Hijrah bersamaan 2015Masihi.

20.    Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Majlis berlangsung dengan lancar, disini admin berikan beberapa gambar menarik dimajlis semalam,











  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Majlis menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan kini di #Kedah Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top