Latest News

Wednesday 11 March 2015

RM348.2 juta Untuk Selesai Krisis Air di Kedah


Alor Setar – Kerajaan Negeri akan melaksanakan empat projek bagi mengatasi masalah bekalan air di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM348.2 juta.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan loji air di Pokok Sena bernilai RM60 juta, loji rawatan air di Kulim dan Taman Teknologi Tinggi Kulim bernilai RM61.7 juta.

Menurutnya, dua lagi projek ialah pembinaan loji Pelubang bernilai RM200 juta dan projek bekalan air Padang Terap bernilai RM26.5 juta di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Projek berkenaan boleh dilihat sebagai penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk mengatasi masalah ini kerana kita tahu Kedah merupakan sebuah negeri yang mempunyai kadar turun hujan yang agak tinggi. Tetapi ada beberapa bulan tertentu kita menghadapi kemarau, sepatutnya masalah bekalan air tidak perlu timbul,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan sempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Pendang yang diadakan di Pejabat Daerah Pendang.

Beliau memberitahu, pihaknya akan terus mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah bekalan air di negeri ini. Perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan juga akan diadakan sebagai salah satu inisiatif dalam menyelesaikan masalah itu.


Ketika ditanya mengenai paras air empangan di negeri ini, jelasnya, sehingga kini paras air masih terkawal dan belum lagi sampai ke tahap kritikal. Walaubagaimanapun, pengguna dinasihatkan agar berjimat cermat dalam penggunaan air walaupun masih banyak.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: RM348.2 juta Untuk Selesai Krisis Air di Kedah Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top