Latest News

Saturday 21 March 2015

Sektor LED, SSL Disasar Jualan RM200 Juta Menjelang 2019




Jitra - Syarikat yang terlibat dalam sektor diod pemancar cahaya (LED) dan pencahayaan lampu padat (SSL) di Malaysia, disasarkan mencapai tahap prestasi jualan sehingga RM200 juta menjelang 2019.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hasil kerjasama MITI dan SME Corp menerusi program Green SSL/LED anjuran SME Corp Malaysia sejak 2012, terbukti menyaksikan prestasi jualan syarikat dalam program itu melonjak kepada RM88 juta tahun lepas berbanding RM70 juta pada 2013.

Tahun ini, kerajaan menyasarkan perolehan jualan sebanyak RM100 juta.

"Objektif kami adalah untuk membangunkan industri LED Malaysia bagi menyokong sektor domestik selain pasaran ASEAN dan global.

"Potensi bagi industri ini cukup besar di seluruh dunia dan ASEAN. Beberapa buah negara misalnya sudah mengharamkan penggunaan pencahayaan konvensional kerana pengeluaran karbonnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat syarikat Primelux Energy Sdn Bhd (PESB) yang juga antara 10 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana dalam program Green LED/SSL.

Primelux, syarikat penyedia penyelesaian pencahayaan di Jitra, Kedah turut melancarkan produk lampu jalan LED terbaharunya. Ia ditubuhkan pada 1997 dan syarikat itu merupakan satu kejayaan SME Corp.

Jelas Mustapa, tujuh daripada 10 syarikat yang menyertai program itu telah mencapai tahap Global Champion, iaitu kompetitif dan produk berkualiti dan mampu bersaing di pasaran antarabangsa, serta mengeksport keluarannya ke seluruh dunia.

Beliau berkata, sektor LED dan SSL diyakini mampu memberi prestasi jualan memberangsangkan, memandangkan kegunaanya yang mampu menjimatkan jumlah penggunaan elektrik setiap bulan.

"Di Putrajaya sudah terbukti dengan penggunaan LED/SSL ini, ia mampu mengurangkan sehingga 50 peratus bil elektrik bulanan dalam setahun," katanya.

Penggunaan LED dan SSL turut disasarkan di projek-projek lebuh raya baharu, projek MRT serta terowong bawah tanah.

Bagaimanapun kata Mustapa, belum ada cadangan bagi mewajibkan penggunaan produk LED di bangunan-bangunan kerajaan, setakat ini.

Sementara itu, SME Corp dalam satu kenyataan berkata, lawatan ke kilang itu adalah sebahagian program rasmi Mustapa pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015, bagi menyaksikan secara langsung keberkesanan perancangan kementerian itu dan SME Corp dalam usaha melahirkan sekurang-kurangnya lima buah syarikat LED tempatan bertaraf dunia menjelang 2020.

Pertumbuhan sektor LED Malaysia disokong dua program lonjakan kerajaan, iaitu Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Dasar Teknologi Hijau Negara (NGTP).

Sektor elektrik dan elektronik merupakan satu daripada 131 Projek Permulaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), manakala matlamat NGTP adalah untuk menggerakkan negara ke arah ekonomi berkarbon rendah dengan pembangunan mampan.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Sektor LED, SSL Disasar Jualan RM200 Juta Menjelang 2019 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top