Latest News

Friday, 6 March 2015

Tiada Madrasah Dan Pondok Agama Kedah Terlibat Militan - Ketua Polis Kedah



Pemantauan yang dijalankan oleh Polis Kedah setakat ini menunjukkan tiada madrasah atau pondok-pondok agama di negeri ini terlibat dalam penyebaran fahaman ekstremisme dan militan.

Ketua Polis Negeri Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan menunjukkan individu dari Kedah yang terlibat dengan kegiatan militan termasuk berjuang di Syria melakukannya di atas kapasiti peribadi.

"Setakat ini, hasil siasatan dan pemantauan kita menunjukkan tiada madrasah dan pondok-pondok agama di Kedah terlibat dalam penyebaran fahaman militan. Mereka yang terlibat adalah atas kapasiti peribadi sendiri," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Polis Kedah menerusi Cawangan Khas melakukan pemantauan berterusan terhadap perkembangan fahaman militan di negeri ini, berikutan pembabitan beberapa individu dari negeri ini yang pergi ke Syria untuk berjihad.

Zamri berkata, siasatan polis menunjukkan mereka yang terlibat dengan kegiatan militan sama ada menerusi kumpulan seperti IS atau kumpulan lain dipengaruhi menerusi laman-laman sosial seperti Facebook.

"Kebanyakan daripada mereka dipengaruhi menerusi laman-laman sosial seperti Facebook dan internet," katanya.

Ditanya bilangan anak-anak muda Kedah yang terlibat dengan kumpulan militan di Syria termasuk IS, beliau enggan mendedahkan maklumat terperincinya.

Semalam, polis mendedahkan pembabitan dua anak muda yang berasal dari Kedah yang telah pergi ke Syria dan kini dipercayai berada di Raqqa, yang dikatakan sebagai ibu negara kumpulan IS.

Seorang daripadanya berumur 20 tahun, berasal dari Kedah dan didakwa terlibat di dalam video penyembelihan seorang tali barut Bashar Al Assad, manakala seorang lagi berumur 25 tahun, dari Kedah yang pergi ke Syria bersama suaminya, 26, yang berasal dari Melaka.

Mengenai dakwaan yang mengaitkan Madrasah Nurul Hidayah di Kuala Ketil, Baling dengan penyebaran fahaman militan dan ekstremisme, Ketua Polis Kedah itu berkata, siasatan polis setakat ini membuktikan sebaliknya.

"Setakat ini tidak ada," katanya tentang madrasah yang didakwa oleh media luar negara, The New York Times menerusi dokumentari terbitannya "The Jihadist In Our Family", sebagai menyebarkan fahaman militan dengan menyeru anak-anak murid supaya berjihad.

Madrasah yang mempunyai 180 pelajar itu diasaskan oleh dua beradik, Mohd Zainon Ariffin dan adiknya Allahyarham Mohd Lotfi Ariffin yang terbunuh di Syria tahun lepas akibat serangan udara oleh tentera Bashar Al Assad.

Allahyarham Mohd Lotfi merupakan bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama Kedah dan terlibat dengan kumpulan militan Syria digelar Ajnad Al-Sham.

Mohd Zainon dalam temu ramah dengan Bernama baru-baru ini turut menafikan madrasahnya terlibat dengan penyebaran fahaman militan.

Menurutnya, sepanjang pengetahuan beliau tidak ada seorang anak muridnya telah pergi ke Syria untuk berjihad.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tiada Madrasah Dan Pondok Agama Kedah Terlibat Militan - Ketua Polis Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top