Latest News

Thursday 30 April 2015

Enam Lelaki Didakwa Di Mahkamah Kerana Terlibat Dengan Aktiviti Keganasan

Enam lelaki, termasuk pasangan anak beranak dan seorang warga Indonesia, dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Mereka yang didakwa di hadapan hakim Rusita Md Lazim ialah Murad Halimmuddin Hassan, 49, dan anaknya Abu Daud, 25, Ali Saifuddin (warga Indonesia), Nor Azmi Jalani, 28, Mohd Yusri Mohamed Yusof, 27, dan Hadharami Hashim, 38.

Menurut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia antara 30 Jan hingga 5 April tahun ini di No 61 Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang.

Tindakan mereka itu bertentangan dengan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan dan satu kesalahan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan boleh dihukum penjara 30 tahun serta denda.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada kesemua mereka yang diwakili peguam Che Sharif Mat dan Mohd Zainuri Zahir, manakala pendakwaan dilakukan oleh Ketua Pendakwa Kedah Salim Soib.

Hakim Rusita menetapkan kes itu disebut semula pada 31 Mei depan dan tidak membenarkan tertuduh dijamin.

Sementara itu Murad Halimmuddin juga berhadapan pertuduhan kedua iaitu memberi sokongan kepada perbuatan pengganas pada 29 Mac tahun ini di alamat yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130J(1)(b)Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan denda jika ddapati bersalah.

Sama seperti pertuduhan pertama, tiada pengakuan dicatat dan kes akan disebut semula pada 31 Mei depan tanpa sebarang jaminan dibenarkan terhadap Murad.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Enam Lelaki Didakwa Di Mahkamah Kerana Terlibat Dengan Aktiviti Keganasan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top