ALOR SETAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah mematahkan cubaan menyeludup 81 kenderaan mewah bernilai RM7.6 juta termasuk cukai dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Turut ditahan ialah 15 suspek antaranya seorang penjawat awam berusia 50-an yang terlibat dengan lapan kes penyeludupan kereta mewah pada Mac lalu.
Pengarah JKDM negeri, Abdul Latif Abdul Kadir, kes berkenaan ditangani hasil maklumat awam dan juga inisiatif daripada anggota Bahagian Penguatkuasaan negeri di stesen Alor Setar, Bukit Kayu Hitam, Langkawi, Sungai Petani dan Durian Burung.
Menurutnya, siasatan awal menunjukkan kesemua kenderaan tersebut diseludup dari negara jiran dan dijual di pasaran tempatan kepada orang awam dengan harga jauh lebih murah berbanding yang diimport secara sah.
“Antara kenderaan mewah yang disita adalah Mercedes Benz E240, Porshe Boxter S, Maserati, Jaguar, BMW X5, BMW 730 Li, Mini Cooper, Volkswagen Beetle, Nissan Fairlady, Toyota Estima dan Volvo XC90,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Latif memberitahu, modus operandi kegiatan berkenaan adalah mendaftarkan kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu sama ada melibatkan nombor yang telah dipakai atau memang tidak wujud.
Ujarnya, kenderaan berkenaan bukan sahaja dirampas di negeri ini malah di seluruh negara termasuk di Lembah Klang, Perak dan Kelantan.
Tambahnya, kesemua suspek yang bergerak secara bersendirian, kini dibebaskan dengan jaminan kastam di bawah Seksyen 116 Akta Kastam 1967 sementara siasatan lanjut dijalankan.
“Semua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang tidak berkastam. Jika sabit kesalahan, bagi kesalahan pertama, pemilik boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali nilai barangan, atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda tidak kurang 20 kali ganda nilai barangan dan tidak melebihi 40 kali ganda nilai barangan, atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. - UM
0 comments:
Post a Comment