Latest News

Sunday, 12 November 2017

UCAPAN TAKZIAH DI SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH oleh YB Dato' Seri Hj. Mukhriz Tun Mahathir



UCAPAN TAKZIAH DI SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH
oleh YB Dato' Seri Hj. Mukhriz Tun Mahathir

ADUN Ayer Hitam
12 Nov, 2017

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana di atas izin dan rahmat-Nya jua kita berada sekali lagi di Dewan Yang Mulia ini untuk mencambah idea dan pandangan demi kesejahteraan rakyat yang kita wakili di negeri Kedah yang dicintai.

Dan, dengan kekuasaan dan ketentuan Yang Maha Esa jualah sekalian rakyat Kedah Darul Aman berdukacita dengan kemangkatan Raja Pemerintah yang dikasihi pada 11 September 2017. Kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-haj Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dirasai sebagai kehilangan yang besar bagi sekalian hamba rakyat.

Kita mendoakan semoga Allah Subhanahu Wata’ala mencucuri rahmat dan keampunan ke atas roh Baginda dan menempatkan Baginda di syurga firdaus-Nya bersama para golongan yang diredhai.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Dalam mengenang Almarhum, saya teringatkan pesanan Baginda ketika bertitah pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia yang ke-23 pada tahun 2010 dahulu. Intipati titah Almarhum begitu bertepatan ketika itu dan begitu relevan sekali dengan pelbagai perkembangan yang berlaku dalam negara hari ini.

Almarhum telah berpesan kepada rakyat supaya berhati-hati dalam memilih pemimpin kerana pemimpin yang ditaja oleh dana atau kuasa luar boleh mendedahkan negara kepada penjajahan.

Saya memetik titah Almarhum, (QUOTE) “Jika mahu menjadi atau memilih pemimpin negara, lebih baik tidak dicucuk hidung oleh kuasa asing lain kerana kemungkinan individu berkenaan mempunyai kepentingan terhadap diri sendiri.” (END QUOTE)

Almarhum mengingatkan kita bahawa negara akan menjadi boneka yang digerakkan oleh kuasa lain jika pemimpinnya telah berjaya dibeli atau diperas ugut oleh kuasa berkenaan.

Peringatan tersebut menunjukkan betapa Almarhum begitu risaukan musibah yang boleh menimpa negeri mahupun negara jika para pemimpin tidak amanah, rakus kuasa sehingga sanggup menggadai nasib rakyat dan kedaulatan negeri serta negara.

Rasanya tidak perlu saya menghurai dengan mendalam apa yang tersurat, apatah lagi yang tersirat dalam titah Almarhum itu, tetapi memadai saya mengatakan bahawa apa yang Almarhum risaukan ketika itu nampaknya sedang berlaku hari ini.

Sedikit demi sedikit tanah negara, malah di negeri kita ini, diserahkan kepada orang asing kononnya atas alasan pelaburan. Trend ini membimbangkan kerana jika tidak dikawal dan disekat, tidak mustahil kita akan terjerat dalam caturan politik kuasa asing sehinggakan kedaulatan negara kita tergadai.

Begitulah susuk peribadi Almarhum, Tuanku Sultan yang sentiasa mengharapkan para pemimpin memikul amanah rakyat dengan sebaiknya; mengharapkan rakyat dibela oleh pemimpin yang jujur, ikhlas dan berintegriti tinggi.

Kita semua sedia maklum betapa Almarhum begitu disenangi dan disayangi oleh rakyat jelata. Kemangkatan baginda meninggalkan kesan yang mendalam bukan hanya kepada rakyat negeri ini, malah seluruh negara yang mengenali baginda sebagai seorang raja yang sentiasa mengambil berat soal rakyat.

Saya menganggap diri saya sangat bertuah kerana sering diperkenankan untuk mengadap Kebawah Duli Almarhum untuk pertemuan empat mata di Istana Negara, Istana Anak Bukit mahupun Istana Bukit Malut di Langkawi. Setiap peluang mengadap itu, saya dapat merasai betapa Almarhum begitu sayang kepada negeri Kedah dan seluruh Rakyat Baginda. Seringkali saya memahami bahawa setiap kali Almarhum bertanyakan saya mengenai isu2 semasa, baik mengenai Kedah mahupun negara, sebenarnya jawapan kepada soalan2 itu sudah pun dalam pengetahuan Almarhum. Baginda cuma mahukan pengesahan kepada perkara yang difikirkan itu.

Meskipun Almarhum menaungi negara sebagai Yang DiPertuan Agong dan tentunya memikul amanah dan tanggung jawab yang begitu besar, namun minat Almarhum terhadap bolasepak Kedah tidak pernah pudar. Malah apajua perkara penting yang hendak saya angkat untuk perkenan Almarhum, berita terkini mengenai kedudukan pasukan Kedah FA khususnya kebajikan seluruh anggota pasukan sentiasa dibangkitkan. Bolasepak Kedah sememangnya kehilangan peminat nombor satu dengan kemangkatan Almarhum Tuanku Sultan.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Kepada Yang Maha Mulia Tunku Hajjah Haminah Hamidon serta seluruh Kerabat Diraja Negeri Kedah, patik-patik sekalian sekali lagi merafak sembah takziah di atas kemangkatan Almarhum Tuanku Sultan yang amat dikasihi.

Patik-patik sekalian juga merafak sembah taat setia ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah yang ke-29. Patik-patik mendoakan negeri Kedah Darul Aman terus aman makmur di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wasssalamua’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: UCAPAN TAKZIAH DI SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH oleh YB Dato' Seri Hj. Mukhriz Tun Mahathir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top