Latest News

Wednesday 22 April 2015

Parlimen Permatang Pauh, Antara Kawasan Paling Diabaikan - Mukhriz



Pengundi di Parlimen Permatang Pauh perlu menyedari kebajikan mereka telah diabaikan oleh anggota Parlimennya selama ini dan kini adalah masa untuk mengubahnya, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata pengundi di kawasan parlimen itu yang akan mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) 7 Mei depan perlu menolak isu yang tidak membawa sebarang kepentingan kepada mereka.

"Saya berharap rakyat di Parlimen Permatang Pauh akan dapat melihat tanggungjawab sebagai Anggota Parlimen adalah mendahulukan rakyat di kawasannya... itu adalah kewajipan mereka," katanya pada pemberita di sini, Selasa.

Mukhriz, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, sebelum itu merasmikan majlis 'Garis Mula Institut Keusahawanan Negara' (INKSKEN) di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon hari ini.

Umno Kedah, katanya, akan berusaha gigih dalam meyakinkan pengundi di Permatang Pauh supaya menolak isu yang tidak membawa sebarang faedah kepada mereka.

Kata Mukhriz, memandangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) merupakan 'underdog' pada PRK Permatang Pauh, pendekatan yang digunakan haruslah berbeza berbanding PRK Parlimen Rompin.

Beliau berkata reaksi PAS pada PRK Permatang Pauh juga menarik untuk dilihat terutama sekali selepas rakan-rakan 'Tahaluf Siyasinya (kerjasama politik)', PKR dan DAP, menolak bulat-bulat cadangannya untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan.

Persoalannya, adakah PAS akan bersama-sama PKR dan DAP di Permatang Pauh.

"Saya hendak tengok keikhlasan PAS. Apabila Hudud yang diperjuangkannya ditolak oleh rakan-rakan pembangkang, adakah mereka terus membekalkan tukang-tukang kempen," kata Mukhriz.

Mengenai PRK Rompin pula, beliau menyifatkan pemilihan Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin sebagai calon BN merupakan pilihan yang sangat tepat.

Beliau berharap pengundi di kawasan itu akan memberi sokongan kepada Hasan yang dikenali sebagai 'orang lama' di situ untuk berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Rompin.

Bernama 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Parlimen Permatang Pauh, Antara Kawasan Paling Diabaikan - Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top