Beliau berkata Pemuda UMNO Kedah teguh menyokong kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Adalah tidak adil untuk mengatakan UMNO Kedah kini berpecah hanya disebabkan kenyataan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin baru-baru ini (yang mengatakan UMNO Negeri berpecah)."
"Perpaduan dalam kalangan ketiga-tiga cabang UMNO Kedah iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri pada ketika ini adalah kukuh," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Rabu.
Sehubungan itu, Shaiful Hazizy juga berharap semua pihak bersabar dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah selepas mesyuarat UMNO Kedah dijadual pada 24 April di Kuala Lumpur sebagaimana diminta oleh Mukhriz.
Katanya Menteri Besar akan membuat kenyataan rasmi tentang sokongan UMNO Kedah terhadap Perdana Menteri pada tarikh itu, sambil berkata Pemuda UMNO Kedah berharap tidak ada pihak membuat spekulasi atau cuba "menangguk di air keruh" yang bakal memburukkan lagi keadaan.
Sebagai ahli politik yang telah lama bergiat dan matang, Shaiful Hazizy berkeyakinan Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah akan membuat keputusan yang tepat pada 24 April itu.
"Saya berkeyakinan Datuk Seri Mukhriz tidak akan membuat keputusan yang menyimpang jauh. Saya cukup yakin beliau akan membuat keputusan yang menunjukkan kematangannya," katanya.
Katanya pada masa sama Pemuda UMNO Kedah mempunyai pendirian yang sama seperti Pemuda UMNO Pusat yang memberikan sokongan padu dan setia terhadap kepimpinan Najib yang juga Presiden UMNO.
Selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumput dua hari lepas, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu menyokong dan taat kepada kepimpinan Perdana Menteri.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment