Latest News

Friday 3 April 2015

Polis Kedah Dan Kerajaan Negeri Anjur Jerayawara Bahaya IS


Polis Kedah akan menganjurkan jerayawara dan ceramah tentang bahaya gerakan militan IS dalam usaha membendung penyebarannya di negeri ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya berkata, usaha yang akan dijalankan di seluruh negeri ini bakal diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri.

"Kita telah berbincang dengan kerajaan negeri untuk membawa penceramah yang diiktiraf untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Kedah tentang IS. Program itu diharapkan dapat membuka mata dan menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini.

Menurut Zamri, walaupun masih di peringkat perbincangan dengan kerajaan negeri Kedah, namun pihaknya berharap siri ceramah tentang IS di seluruh Kedah dapat bermula awal Mei ini.

Zamri berkata pemantauan yang dijalankan oleh polis Kedah setakat ini menunjukkan tiada madrasah atau pondok-pondok agama di negeri ini terlibat dalam penyebaran fahaman ekstremisme dan militan.

"Kita akan melakukan pemantauan secara berterusan terutamanya di madrasah dan masjid. Sekiranya ada yang menyebar fahaman ekstremisme dan militan, kita akan ambil tindakan," katanya.

Sebelum ini, polis mendedahkan individu dari Kedah terlibat terlibat dengan kegiatan militan termasuk berjuang di Syria.

Sementara itu Zamri berkata, kadar jenayah di Kedah menurun sebanyak 16 peratus bagi tempoh Jan hingga Mac tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Daerah Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim merupakan tiga kawasan panas dari segi jenayah, namun polis sentiasa memantau keadaan untuk menangani masalah itu.

Penyumbang terbesar peningkatan peratusan kes jenayah di Kedah a0dalah kes kecurian motosikal serta pecah rumah, dan pihaknya akan melaksanakan program bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat tentang penjagaan harta benda, katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Polis Kedah Dan Kerajaan Negeri Anjur Jerayawara Bahaya IS Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top