Latest News

Monday 27 April 2015

'Saya sentiasa ada dalam kawasan' - Suhaimi


Walaupun terpaksa berdepan dengan calon nama besar dan berpengaruh namun ia bukan bermakna BN tidak mempunyai harapan untuk menang dalam PRK Permatang Pauh.

Calon BN, Suhaimi Sabudin yakin mempunyai peluang untuk diterima penduduk Permatang Pauh kerana anak tempatan dan boleh memberi tumpuan sepenuhnya di kawasan itu jika dipilih sebagai ahli parlimen.

Selain menjanjikan pembangunan dan perubahan di Permatang Pauh beliau berikrar akan membela nasib semua lapisan masyarakat di kawasan ini.

“Kelebihan saya berbanding calon PKR ialah saya anak tempatan dan sentiasa berada dalam kawasan.

“Jika dipilih oleh rakyat kelak, saya berjanji akan sentiasa bersama mereka tidak kira waktu suka mahupun sukar,” katanya ketika ditemui di kediaman ibunya di Kampung Guar Jering, Kubang Semang di sini semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Umno Permatang Pauh berkata, keadaan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbeza kerana juga menjadi Adun Kajang yang perlu memberi perhatian kepada rakyat di kawasannya.

Menurutnya, bagaimana calon PKR mampu memberi perhatian sepenuhnya kepada masyarakat di Permatang Pauh jika mempunyai komitmen di tempat lain.

“Saya rasa rakyat masih lagi ingat sebelum ini dia pernah diberi kepercayaan menjadi ahli parlimen namun melepaskan jawatan itu semata-mata untuk suaminya.

“Tindakan itu seperti mempermainkan pengundi di Permatang Pauh dan mungkin menjadi pengajaran kepada masyarakat di sini,” katanya.

Mengenai keyakinannya menghadapi pertandingan empat penjuru dalam PRK Permatang Pauh, Suhaimi berkata kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan semua jentera menambahkan keyakinannya untuk melakarkan sejarah baharu di situ.

Beliau berkata, kesemua jentera BN perlu berganding bahu dan terus bekerja kuat bagi menarik hati pengundi.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 'Saya sentiasa ada dalam kawasan' - Suhaimi Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top