Latest News

Tuesday 7 April 2015

Sidang Dun : Buka Lebih Banyak Taman Teknologi - DSMM



Melihat Kejayaan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Kerajaan negeri Kedah merancang untuk membuka lebih banyak taman teknologi di negeri ini selepas ini.

Semasa menjawab soalan Yb Nor Saidi Nanyan (BN Kuah) Menteri Besar Dato' Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pembukaan lebih banyak taman teknologi seperti KHTP mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah dan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Apabila taman-taman teknologi itu berjaya, ia akan menyumbang semula kepada ekonomi negara dalam bentuk pertumbuhan ekonomi dan cukai yang dikutip," katanya.

Negeri Kedah berharap kerajaan pusat dapat membantu kerajaan negeri membuka Taman Teknologi Sains dan Teknologi di Bukit Kayu Hitam dan Taman Teknologi Sains Perubatan di Kulim.

Katanya pembukaan taman teknologi tersebut akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri itu secara keseluruhan selain menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat negeri Kedah.

Mukhriz berkata, sejak dibuka pada 1996, KHTP berjaya menarik RM36 bilion nilai pelaburan dari dalam dan luar negeri serta menyediakan kira-kira 20,000 pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan.

Katanya mereka yang bekerja di KHTP menerima purata gaji sebanyak RM6,400 sebulan, dengan 70 peratus daripadanya merupakan anak-anak tempatan.

Beliau berkata walaupun kerajaan pusat membelanjakan RM600 juta untuk membuka KHTP, jumlah pelaburan yang diterima memberikan pulangan berlipat kali ganda kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Katanya bagi tempoh 2010 hingga 2014, Kedah menerima RM16.5 bilion nilai pelaburan, dengan RM12.5 bilion merupakan pelaburan asing manakala RM3.9 bilion adalah pelaburan tempatan.

Bidang yang menjadi keutamaan pelabur di Kedah dalam tempoh itu ialah industri elektrik dan elektronik yang menyumbang kira-kira RM11 bilion nilai pelaburan, katanya.

Selain cuba menarik pelaburan baharu, Mukhriz berkata kerajaan negeri turut membantu pelabur sedia ada meningkatkan pelaburan mereka di negeri itu.

Dewan ditangguh tepat jam 10.45am dan disambung pada 07 April 2015. 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Sidang Dun : Buka Lebih Banyak Taman Teknologi - DSMM Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top