Latest News

Wednesday, 1 July 2015

Keganasan! Dua Beranak Dihukum Penjara


Seorang lelaki dihukum penjara 18 tahun manakala anaknya penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Murad Halimmuddin, 49, atas pertuduhan berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan dan 18 tahun penjara lagi atas pertuduhan kedua iaitu memberi sokongan kepada perbuatan yang sama.

Bagaimanapun, Murad yang bekerja sebagai penjual buah tembikai bernasib baik kerana mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman secara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 5 April lalu.

Mahkamah juga memerintahkan anaknya, Abu Daud, 25, menjalani hukuman penjara 12 tahun itu bermula tarikh yang sama selepas mengaku bersalah memberi sokongan kepada perbuatan pengganas.

Kedua-dua beranak itu menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130G(a) dan Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Kamardin berkata mahkamah mengambil kira pelbagai faktor termasuk peranan kedua-dua tertuduh itu ketika melakukan kesalahan tersebut selain faktor rayuan yang dikemukakan.

"Saya berhadapan tugas berat untuk menjatuhkan hukuman yang bersesuaian selepas mensabitkan kesalahan itu terhadap tertuduh. Mahkamah memandang serius kesalahan ini kerana boleh mengancam keselamatan negara," katanya.

Pada 30 April lalu, Murad dan anaknya didakwa bersama-sama empat lagi di Mahkamah Sesyen Alor Setar, namun pada 31 Mei mahkamah memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Dua beranak tersebut didakwa berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia antara 30 Jan hingga 5 April tahun ini di No. 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah.

Murad turut berhadapan pertuduhan kedua iaitu memberi sokongan kepada perbuatan keganasan pada 29 Mac tahun ini di alamat yang sama pada 29 Mac tahun ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar memohon hukuman penjara yang maksimum atas alasan kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan serius dan berat.

Mengikut fakta kes, Murad, yang baru pulang dari Syria setelah berapa lama menjadi pejuang kumpulan militan IS, keluar dari negara ini melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk ke Bangkok, Thailand pada 27 Ogos, 2014 sebelum meneruskan perjalanan ke Istanbul pada 31 Ogos, 2014.

Ketika di Turki dia menyelinap masuk ke Syria dengan bantuan seorang lelaki bernama Abu Nour, dan semasa di Syria tertuduh menyertai kumpulan militan dan dibekalkan dengan senjata api bagi tujuan berjuang.

Tertuduh kemudiannya telah pulang ke Kedah melalui Bangkok dan menetap di Pendang, Kedah.

Pada 30 Jan lepas, Murad dan anaknya mengadakan pertemuan dengan beberapa individu lain dan kedua-dua tertuduh berpakat dengan beberapa anggota kumpulan militan IS di Syria untuk merekrut sekurang-kurangnya 20 individu bagi melancarkan jihad di Malaysia.

Pada perbincangan itu, anaknya Abu Daud mencadangkan supaya menculik beberapa pemimpin negara untuk dijadikan tebusan bagi membebaskan tahanan SOSMA yang terlibat dalam aktiviti keganasan, yang ditahan sebelum ini.

Mereka turut berbincang untuk merompak senjata di kem Hobart milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Gurun dan di Bukit Pinang, Alor Setar, Kedah.

Selepas mencapai jumlah merekrut tersebut, mereka bercadang untuk melakukan rompakan van keselamatan yang turun membawa wang tunai dari Genting Highlands bagi mengumpul dana untuk membiayai misi jihad mereka.

Anak beranak itu ditangkap ketika sedang menjual buah tembikai di gerai buah-buahan mereka di Kedah dan tangkapan itu berkaitan maklumat mengenai pakatan untuk melakukan kekacauan di negara ini.

Terdahulu, dua beranak itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan Murad masih mempunyai hutang dan menanggung enam anak yang masih belajar, menghidap penyakit buah pinggang, jantung dan kencing manis manakala Abu Daud perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Keganasan! Dua Beranak Dihukum Penjara Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top