Latest News

Thursday, 30 July 2015

Lantik Wakil Kedah Dalam Kabinet, Mukhriz Ucap Terima Kasih Pada PM


Rombakan Kabinet baru-baru ini menyaksikan beberapa pemimpin Kedah turut diberi ruang berada dalam barisan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rombakan semalam turut menyaksikan dua pemimpin dari Kedah iaitu bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pendidikan manakala Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

Pelantikan Mahdzir sebagai Menteri Pendidikan, yang dianggap jawatan kanan dalam Kabinet, merupakan satu penghormatan kepada Kedah, kata Mukhriz sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri.

"Ia adalah kementerian yang amat mustahak," katanya dan mengucapkan tahniah kepada Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah.

Turut berada dalam Kabinet adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Jamil Khir Baharom yang juga Ahli Parlimen Jerai. 

Mengenai pertemuan dengan Muhyiddin di kediamannya semalam, Mukhriz berkata ia adalah kunjungan biasa untuk mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin di atas jasa-jasanya terhadap Kedah selama ini.

"Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, banyak sekolah dan pelajar-pelajar di Kedah menerima faedah daripada penyaluran peruntukan yang diluluskan oleh Muhyiddin.

"Atas sebab itu, saya rasa terpanggil untuk sekurang-kurangnya berjumpa dengan beliau (Muhyiddin) dan mengucapkan terima kasih banyak daripada kerajaan negeri Kedah di atas semua budi baik beliau," katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Lantik Wakil Kedah Dalam Kabinet, Mukhriz Ucap Terima Kasih Pada PM Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top