Latest News

Thursday 2 July 2015

Miliki Senjata Lelaki ditahan


Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas sepucuk pistol dalam serbuan di Jalan Datuk Kumbar, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya hari ini berkata lelaki berumur 57 tahun yang menaiki sebuah kereta mewah jenis BMW itu ditahan pada pukul 6.30 petang.

Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu, polis menemui sepucuk pistol dipercayai jenis Mauser dan sembilan butir peluru jenis kaliber .9mm.

Katanya kenderaan dinaiki suspek yang bekerja sebagai juruteknik dimiliki seorang doktor lelaki berumur 40 tahun yang bekerja di sebuah hospital swasta di sini.

"Suspek tiada rekod jenayah sebelum ini dan kami sedang menyiasat kaitan suspek dengan doktor berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Mohd Nashir berkata suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siastan.

Katanya suspek akan disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa lesen dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru tanpa lesen.

Beliau berkata sejak 2013 hingga Jun 2015, polis merampas 109 senjata api iaitu 34 pistol pelbagai jenis dan 75 senapang pelbagai jenis.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan 1,139 pendatang asing tanpa izin (PATI) iaitu 323 lelaki dan 43 wanita serta enam kanak-kanak lelaki dan tiga perempuan sejak 2013 hingga Jun tahun ini.

Seramai 933 PATI itu adalah warga Myanmar, 152 warga Bangladesh, Kemboja (15), Thailand (14), India (tujuh), Nepal (13), Vietnam (tiga) dan Indonesia (dua) ditahan ketika cuba masuk ke negara ini.

Seramai 79 PATI pula dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 26 A dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 dan lima PATI mengikut Seksyen 13 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 sejak 2013 hingga Jun 2015.

Mohd Nashir juga berkata Pasukan Gerakan Am menahan lima PATI warga Myanmar dan seorang lelaki Thailand dipercayai tekong di Hutan Simpan Sungai Badak, Sintok pada pukul 7 pagi hari ini.

Katanya dua lelaki dan tiga wanita Myanmar serta seorang tekong lelaki berumur antara 18 dan 34 tahun itu ditahan ketika sedang menunggu anggota sindiket untuk mengambil mereka.

Beliau berkata mereka dipercayai menggunakan jalan darat sempadan untuk masuk ke negara ini dan menunggu pihak sindiket untuk mengambil mereka dengan menggunakan kenderaan.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Miliki Senjata Lelaki ditahan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top