Latest News

Sunday 20 September 2015

Rakyat Berbilang Kaum Bersama Sambut Pesta Tanglung Di Kedah


UCAPAN PENUH

YAB DATO' SERI HJ. MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PESTA TANGLUNG 2015, PERINGKAT NEGERI KEDAH

DI JALAN PENGKALAN DAN JALAN DEWA
SUNGAI PETANI, KEDAH

PADA 19 SEPTEMBER 2015 (SABTU)
JAM 6.45 PETANG

Salam Sejahtera
Salam Kedah Aman Makmur
Salam Kedah Serata-rata

Yang Berhormat
Dato’ Dr Leong Yong Kong,
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India,

Yang Berhormat
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berhormat
Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-Ahli Parlimen

Yang Berbahagia
Haji Abdul Rahman bin Ismail,
Pegawai Daerah Kuala Muda

Yang Berusaha
Encik Lee Kuang Chue,
Pengerusi Gabungan Persatuan Orang-Orang Cina Sungai Petani

Yang Dihormati Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri

Ketua-Ketua Jabatan / Dif-Dif Jemputan / Wakil-wakil Media / Dato’-Dato’ / Datin-Datin / Para Hadirin yang dihormati sekalian,

NI HAO !

Saya berasa sangat gembira kerana dapat bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan di upacara sambutan Pesta Tanglung Peringkat Negeri Kedah pada malam ini.

Yang lebih membanggakan saya, kita ini dari pelbagai latar belakang dan berlainan kaum, budaya serta kepercayaan dapat bersama-sama untuk meraikan satu temasya kebudayaan yang disambut oleh sahabat-sahabat keturunan Tionghua dalam suasana aman dan harmoni.

Inilah semangat kesepaduan yang dijunjung oleh Kerajaan Negeri semoga rakyat di negeri yang bertuah ini hidup sebagai satu keluarga besar yang bersatu padu, mesra dan hormat menghormati antara satu dengan yang lain. Syabas dan Tahniah kerana inilah amalan hidup rukun ramai yang kita pertahankan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Perayaan Kuih Bulan dan Pesta Tanglung yang lebih dikenali sebagai “Mid Autumn Festival” adalah satu pesta kebudayaan yang diraikan oleh masyarakat Cina di Malaysia, bahkan oleh kaum Cina di seluruh dunia. Ia merupakan perayaan tradisional utama kaum Cina selain dari Tahun Baru Cina.

Pada tahun ini, Gabungan Persatuan Orang-Orang Cina Sungai Petani telah dipilih oleh Kerajaan Negeri untuk menjadi penyelaras program Karnival Pesta Tanglung 2015 peringkat Negeri Kedah yang merupakan acara tahunan pada setiap tahun bermula pada tahun 2014 yang lalu.

Saya menyambut baik cadangan ini kerana sudah menjadi dasar Kerajaan untuk menyemai sifat perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di Negeri dan juga di Negara kita.

Saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan syabas kepada Yang Berhormat Dato’ Dr Leong Yong Kong kerana telah memikul tanggungjawab dalam merealisasikan program pada malam ini.

Saya mendapati sambutan program ini, seperti sebelum in, mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran pengunjung yang ramai terdiri dari pelbagai kaum dan masyarakat di Negeri Kedah. Adalah diharapkan program Karnival Pesta Tanglung pada tahun ini akan lebih meriah dengan sambutan yang lebih menggalakan dari semua kaum dan masyarakat Sungai Petani khususnya serta pengunjung dari luar daerah amnya.

Saya percaya program seperti yang diadakan pada malam ini akan menjadikan bandar Sungai Petani sebagai sebuah bandar yang dinamik dan meriah. Dalam Karnival Pesta Tanglung terdapat program lukisan dinding yang lebih dikenali oleh mural art telah bermula sejak 19 Ogos yang lalu merupakan satu aktiviti yang bermakna di mana sukarelawan di kawasan Kedah telah mencurahkan tenaga untuk mencantikkan di sebahagian rumah kedai di Jalan Dewa.

Lukisan di dinding ini merupakan lukisan dinding kedua di Kedah selepas Pekan Semeling. Saya yakin bahawa ini juga akan menjadi satu daya tarikan pelancong menjelang Tahun Melawat Kedah atau lebih tepat lagi Discover Kedah 2016.

Selain itu, pembinaan pintu gerbang di Jalan Dewa juga menggambarkan kerapatan dan kerjasama di kalangan penduduk setempat dengan ahli jawatankuasa. Pintu gerbang ini dijangka akan menjadi mercutanda baharu bagi setiap orang yang memasuki ke kawasan Sungai Petani. Pintu gerbang yang unik juga telah dibina di Medan Selera Jalan Dewa yang merupakan salah satu usaha mencantikkan Bandar Sungai Petani. Saya turut dimaklumkan bahawa penglibatan sukarelawan memainkan peranan yang penting dalam menjayakan Karnival Pesta Tanglung ini. Tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program ini.

Akhir kata, saya berharap semua yang hadir pada malam ini dapat menyertai semua aktiviti yang diatur dan menghayati semangat perpaduan dan muhibbah yang ditonjolkan menerusi program ini.

Saya dengan ini merasmikan Karnival Pesta Tanglung 2015 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman.

Sekian, terima kasih.








  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Rakyat Berbilang Kaum Bersama Sambut Pesta Tanglung Di Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top