Latest News

Tuesday 20 October 2015

Agenda Hijau Memacu Landskap Sosio-Ekonomi Kedah - Mukhriz



Agenda Hijau Kedah yang dilancarkan malam ini, dijangka mengukuhkan lagi teknologi hijau dan amalan lestari dalam memacu landskap sosio-ekonomi negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam menghasilkan pelan tindakan yang dibuat khusus bagi memenuhi kelebihan dan keperluan negeri ini.

"Kedah telah menarik banyak syarikat teknologi hijau terdiri daripada pengeluar solar fotovoltan, ladang solar fotovoltan, malah hospital mesra alam pertama di Malaysia juga terletak di Sungai Petani," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersempena Forum 'Langkawi Smart Green City' 2015 di sini.

Beliau berharap forum itu akan meningkatkan pelaburan dalam teknologi hijau di Kedah, dan pada masa sama menarik minat pembekal penyelesaian bandar raya pintar untuk melihat secara mendalam kemungkinan melabur di negeri ini.

"Kami akan melakukan yang terbaik di peringkat kerajaan negeri bagi membantu mentransformasikan bandar-bandar kita, daerah-daerah dan juga kampung-kampung untuk menjadi lebih pintar dan lebih hijau," katanya.

Mukhriz berkata penganjuran forum berkenaan tepat pada masanya berikutan pengumuman oleh kerajaan Persekutuan baru-baru ini, untuk menjadikan Langkawi sebagai Pulau Rendah Karbon pertama Malaysia menjelang 2030.

"Visi Pulau Rendah Karbon Langkawi ini akan juga dapat meningkatkan status Langkawi sebagai destinasi percutian pilihan dengan Agenda Pelancongan Hijau," katanya.

Beliau berkata KeTTHA kini sedang merangka satu pelan induk untuk mentransformasikan Langkawi menjadi Pulau Rendah Karbon seperti Pulau Jeju di Korea Selatan sebagai penanda aras.

"Dengan pelan induk ini, diharapkan Langkawi akan menjadi contoh kepada tenaga boleh diperbaharui, mobiliti elektrik, pengurusan sisa buangan dan bangunan hijau," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri dan anggota Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad.

bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Agenda Hijau Memacu Landskap Sosio-Ekonomi Kedah - Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top