Latest News

Thursday 15 October 2015

Kerajaan Kedah Galakkan Syarikat Dari Kedah Ambil Bahagian Secara Aktif Program MATRADE





UCAPAN PERASMIAN
PROGRAM ‘EXPORTERS FORUM’ MATRADE 2015

OLEH YAB DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

HOTEL GRAND ALORA, ALOR SETAR, KEDAH
13 OKTOBER 2015

Bismillahirrahmanirrahim
Assalammulaikum W.B.T.
Salam Sejahtera
Salam 1Malaysia
Salam Kedah Aman Makmur
Salam Kedah Serata rata

Terima kasih Saudara Pengacara Majlis

Yang Berhormat Dato’ Noraini Ahmad,
Pengerusi MATRADE

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Ahli-Ahli Yang Berhormat
Dif-Dif Jemputan
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

Alhamdulilah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah SWT, pada pagi yang berbahagia ini kita dapat bersama-sama di dalam Program Exporters Forum 2015 Peringkat Negeri Kedah. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MATRADE kerana sudi mengundang saya hadir dan seterusnya merasmikan program ini.

Saya menyambut baik dan mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh pihak MATRADE yang telah memilih Alor Setar untuk menganjurkan forum ini. Sebelum ini, diadakan di Sungai Petani dan saya juga berkesempatan untuk merasmikan program tersebut tahun lalu.

Penganjuran program ‘Exporters Forum’ MATRADE 2015 untuk usahawan-usahawan dan pengeksport-pengeksport negeri Kedah amatlah dialu-alukan. Di samping peluang untuk berinteraksi dengan agensi agensi MITI yang lain seperti MIDA, MIDF, MPC, SME CORP dan SME Bank, turut hadir adalah daripada Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat memanfaatkan sesi dan peluang untuk berinteraksi bersama agensi-agensi kerajaan yang hadir pada hari ini.

Kerajaan Negeri dan MATRADE sentiasa bekerjasama dalam memberi maklumat terkini perniagaan global dan peluang-peluang perdagangan kepada syarikat dari masa ke semasa. Syarikat-syarikat di Kedah perlu memanfaatkan maklumat ini dan perkhidmatan yang disediakan oleh MATRADE. Syarikat-syarikat juga digesa supaya berani dalam mengembangkan prospek perniagaan dan meneroka pasaran antarabangsa untuk menggalakkan “home grown brand” berkembang di peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, sebuah syarikat negeri Kedah iaitu Tastiway Sdn Bhd, telah berjaya membuka kilang di Guangzhou, China. Syarikat ini mempromosikan buah-buahan tempatan seperti yang disejuk bekukan dengan menggunakan jenama Alor (Repeat: Alor) dan logo bintang untuk pasaran negeri China. Langkah ini secara tidak langsung turut mempromosikan bandar Alor Setar.

Begitu juga dengan beberapa syarikat PKS Kedah yang lain seperti Ambang Dorongan Sdn Bhd yang telah berjaya menarik minat sebuah syarikat dari Jepun untuk membuat kuih ‘Mochi’ di kilangnya di Gurun untuk pasaran Jepun dan juga untuk pasaran di ASEAN.

Syarikat lain yang boleh dibanggakan ialah syarikat Dr. Aishah Solution Sdn Bhd, pengeluar produk makanan dan minuman seperti ‘green tea’, ‘cereals’, kopi dan teh dan ‘energy bar’. Saya telah dimaklumkan syarikat ini sedang bekerjasama dengan syarikat gergasi The Savola Group dari Arab Saudi untuk produknya ‘Dasto Energy Bar’ untuk pasaran di Arab Saudi, Turki, Iran dan Afrika. Syarikat ini telah memenangi anugerah ‘Best New Food Award’ ketika berlangsungnya pameran Gulfood 2015 di UAE baru-baru ini.
Ini hanyalah beberapa contoh yang boleh saya berikan, saya berharap lebih ramai usahawan-usahawan daripada negeri Kedah akan berjaya membawa produk-produk keluaran negeri ini ke pasaran antarabangsa dengan bantuan MATRADE. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan MATRADE mempunyai 46 buah pejabat di luar negara yang boleh dihubungi untuk mendapatkan maklumat pasaran yang terkini.

Pada kesempatan ini, saya ingin menyarankan agar syarikat-syarikat di Kedah supaya dapatmenggunakan khidmat nasihat yang disediakan oleh MATRADE di dalam merealisasikan eksport barangan dan perkhidmatan ke luar negara. Antara jenis-jenis perkhidmatan yang di tawarkan adalah maklumat terkini berkaitan pasaran luar negara, penyertaan di dalam pemadanan perniagaan, penyertaan di dalam aktiviti-aktiviti promosi pameran perdagangan, misi-misi perdagangan dan banyak lagi.

Selain itu, saya difahamkan juga kini di MATRADE, tuan-tuan dan puan-puan dapat mempromosikan produk melalui platform e-dagang atau e-trade. Saya berpendapat ini juga merupakan salah satu kaedah promosi yang efektif di mana barangan tuan/puan dapat dipromosikan dengan menggunakan platform e-dagang yang diiktiraf. Peluang pemasaran ini amatlah luas sekali, di mana platform e-dagang telah merekodkan kejayaan syarikat Malaysia mendapat pesanan daripada luar negara dengan hanya menyertai program e-trade di bawah kelolaan MATRADE ini.

Kini siapa sangka produk keluaran negeri Kedah boleh didapati di pasaran antarabangsa yang jaraknya beribu-ribu kilometer jauhnya dari negeri Kedah. Sebagai contoh produk kopi keluaran syarikat Fikrisz Sdn Bhd kini boleh didapati di Amerika Syarikat.

Kerajaan Negeri Kedah dan MATRADE sentiasa bekerjasama di dalam usaha membawa usahawan-usahawan negeri Kedah ke platform antarabangsa. Antaranya adalah seperti penyertaan didalam pameran perdagangan antarabangsa anjuran MATRADE seperti MIHAS dan INTRADE di Kuala Lumpur, pameran perdagangan di ASEAN, Asia Timur dan Asia Barat seperti Thailand, China, Jepun, Dubai, India dan sebagainya. Kerajaan Negeri berharap MATRADE akan terus membantu usahawan negeri Kedah untuk membawa produk dan perkhidmatan negeri ini ke pasaran antarabangsa.

Walaupun keadaan iklim ekonomi dunia dan negara dalam keadaan tidak menentu namun minat untuk pelabur melabur di negeri Kedah masih lagi tinggi. Didalam usaha kerajaan negeri untuk menarik pelaburan asing ke negeri Kedah, sukacita saya umumkan di sini semasa lawatan saya ke China baru-baru ini, beberapa memorandum persefahaman telah ditandatangani dan disaksikan oleh saya iaitu :

• China CAMC Engineering Co Ltd (CAMCE) bersama Kumpulan Kosmo Sdn Bhdbagi membangunkan sektor tenaga negeri Kedah.

• Beijing Auto International Cooperation (BAIC) Electric Vehicle Plant bersama Amber Dual Sdn Bhd bagi projek mengeluarkan kenderaan elektrik.

• Great Wall Motors Co Ltd (GWM) bersama Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (Go Auto) untuk memperbaharui perjanjian serta mengembangkan skop kerjasama syarikat.

Kerajaan negeri Kedah kini sedang meneliti cadangan pelabur yang berhasrat membangunkan industri minyak dan gas di kawasan Kerpan. Diharapkan cadangan ini akan menjadi kenyataan, sekaligus dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Bagi Projek Bandar Raya Getah di Padang Terap dijangka akan menerima peruntukan bagi memulakan projek tersebut daripada Kerajaan Pusat selewat-lewatnya awal Mac 2016.

Pada Mei 2015 yang lalu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah memeterai perjanjian persefahaman dengan sebuah syarikat perikanan terkemuka dari China, Kumpulan Qingdao Lu Hai Feng (LHF) bagi membangunkan projek bernilai RM1 bilion iaitu Projek Mega Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT). KIFT dirancang akan dibangunkan di Tebengau, Kuala Kedah dan bakal menjadi terminal perikanan terbesar di Asia Tenggara. Dengan pelaburan-pelaburan baru ini diharapkan dapat merancakkan lagi perkembangan ekonomi negeri Kedah.

Selain mempromosikan negeri Kedah sebagai destinasi pelancongan, kerajaan negeri juga mempromosikan Kedah sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan yang menarik. Kerajaan Negeri telah menyertai beberapa pameran antarabangsa sebagai platform untuk menyebarkan maklumat mengenai insentif-insentif yang boleh diberikan kepada pelabur-pelabur asing untuk melabur di Kedah.

Bagi sektor pelancongan puka, Kerajaan Negeri menyasarkan kedatangan 5 juta pelancong untuk berkunjung ke negeri ini menerusi pelbagai program pelancongan yang diatur mulai Mac tahun depan sempena kempen 'Discover Kedah 2016'. Kempen pelancongan yang bertemakan Kedah: Malaysia - ‘Where It All Began' yang julung kalinya akan diadakan untuk menyasarkan pelancong terutama dari negara-negara ASEAN seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya menyeru agar semangat kerjasama dan koordinasi di antara semua jabatan dan agensi kerajaan dapat terus diperhebatkan lagi dengan merancang dan melaksanakan lebih banyak program berkualiti untuk syarikat-syarikat negeri Kedah.

Saya juga berharap PKS Kedah akan terus meningkatkan usaha dengan lebih gigih supaya sektor eksport ini dapat berkembang dan menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MATRADE di atas inisiatif penganjuran Forum ini dan berharap pihak MATRADE akan memperkenalkan pelbagai inisiatif lain dalam membantu dan membimbing usahawan Kedah.

Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirahim, saya sukacita merasmikan program ‘Exporters Forum’ MATRADE 2015.

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalammulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kerajaan Kedah Galakkan Syarikat Dari Kedah Ambil Bahagian Secara Aktif Program MATRADE Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top