Latest News

Saturday 21 November 2015

Osram Jangka Mula Operasi Di Kedah Pada Akhir 2017




ALOR SETAR, 19 Nov (Bernama) -- Osram, syarikat semikonduktor yang berpangkalan di Jerman menjangka akan memulakan operasi pengeluaran cip diode pemancar cahaya (LED) di Kedah pada akhir 2017.

Pengarah Urusan Osram Opto Semiconductors (Malaysia) Dr Roland Mueller berkata kerja-kerja pembinaan kilang akan dimulakan pada Mac 2016 di tanah seluas 9.6 hektar, sebelum penyediaan peralatan pada Mac 2017.

Katanya pemilihan Malaysia dan Taman Teknologi Tinggi Kulim khasnya sebagai lokasi pelaburan adalah disebabkan persekitaran pelaburan di Kedah yang sesuai selain mempunyai ciri-ciri yang diperlukan.

"Bagi sebuah kilang cip, kita memerlukan taman perindustrian yang sesuai, kestabilan tenaga, bahan kimia, persekitaran yang selesa, dan Kedah mempunyai semuanya yang kami perlukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuannya dengan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Wisma Darul Aman di sini Khamis.

Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataannya baru-baru ini menyatakan Osram, peneraju global dalam bekalan produk lampu, akan melabur 3 bilion Euro lagi menjelang 2020.

Sebanyak 1 bilion Euro akan dilabur untuk pembinaan kilang cip LED manakala 2 bilion Euro lagi akan dilabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk kumpulan Osram di seluruh dunia.

Dengan pelaburan itu, Malaysia bakal mempunyai kilang cip LED dan tapak pengeluaran cip LED enam inci terbesar dan terbaharu di dunia.

Mueller berkata pihaknya mahu mengenal pasti kemahiran tenaga kerja yang diperlukan meliputi teknikal dan kejuruteraan untuk mengisi keperluan tenaga kerja di kilang tersebut.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan kerajaan negeri melalui penyediaan tenaga kerja di bawah Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) menerusi dana Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Sementara itu, Mukhriz berkata keputusan pelaburan tersebut menjadi khabar gembira buat rakyat Kedah yang dilihat mampu menyemarakkan lagi ekonomi negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri akan membantu Osram dari aspek penyediaan prasarana dan kemudahan yang diperlukan.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Osram Jangka Mula Operasi Di Kedah Pada Akhir 2017 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top