Latest News

Saturday 21 November 2015

Tourism Kedah Sasar Perkenal 50 Pakej Pelancongan Baharu



SUNGAI PETANI, 20 Nov (Bernama) -- Sebanyak 50 pakej pelancongan baharu akan diperkenalkan menjelang 'Discover Kedah 2016', sebagai nilai tambah ke arah usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Pengarah Tourism Malaysia Kedah Roslan Othman berkata, terdapat beberapa tempat menarik yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan, namun memerlukan penambahbaikan khususnya dari segi promosi.

"Terbaharu ialah Island Hopping antara Pulau Songsong, Pulau Bidan dan Pulau Telor, yang menawarkan perkhidmatan bot membawa pelancong berkelah dan mandi-manda di kawasan terbabit serta aktiviti memancing di kawasan perairan di Yan.

"Kita akan melawat ke daerah seluruh Kedah, kecuali Pulau Langkawi, untuk mengenal pasti produk pelancongan berpotensi dengan kita menyasarkan keseluruhnanya terdapat 50 pakej pelancongan dapat diwujudkan," katanya kepada media selepas menghadiri Bengkel Pembangunan Pakej Pelancongan Lembah Bujang dan Daerah Yan, di Sungai Petani Inn, di sini, Khamis petang.

Roslan berkata, bagi mencapai sasaran 5 juta pelancong ke negeri ini, perlu ada tarikan baharu untuk menarik minat pelancong melawat Kedah, khususnya di tanah besar.

"Jika sebelum ini kita fokus kepada destinasi tetapi tidak bersedia dengan pakej menarik, menerusi bengkel ini kita mencari pakej-pakej baharu dan kreatif untuk diketengahkan dalam 'Discover Kedah 2016', seterusnya diuar-uarkan pada peringkat nasional menerusi 1001 pakej pelancongan di Malaysia.

Turut hadir pada bengkel berkenaan, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah (UPEN) Datuk Harun Jasin dan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, Hishamuddin Mustafa.

Sementara itu, Harun berkata kawasan tanah besar di Kedah kaya dengan tarikan bersifat semulajadi seperti Gunung Jerai, Tasik Pedu, agropelancongan seperti madu kelulut serta sejarah berteraskan Kesultanan Melayu termasuk Balai Besar dan Masjid Zahir.

"Langkawi mempunyai segmen tersendiri, pantai dan laut, namun di tanah besar ada Tapak Arkeologi Lembah Bujang dan Sungai Batu serta makam Sultan Kedah pertama yang memeluk Islam iaitu Sultan Muzaffar Shah," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tourism Kedah Sasar Perkenal 50 Pakej Pelancongan Baharu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top