Latest News

Monday 23 November 2015

Usahawan Wanita Luar Bandar ASEAN Luar Tembusi Pasaran Dunia




Keberaniannya mengambil risiko memulakan perniagaan ketika krisis ekonomi pada 1998 memberi pulangan setimpal kepada Rozaini Salleh yang kini boleh berbangga dengan empayarnya Nani's Frozen Food.

Usahawan dan pengeluar berusia 61 tahun itu berkata beliau hanya menggunakan simpanan peribadi sebagai modal dan kini syarikatnya mengeluarkan hampir 20,000 keping pelbagai jenis makanan beku setiap hari.

"Saya sedar betapa berisikonya memulakan perniagaan pada masa itu, namun saya sahut cabaran dengan hasrat menampung keperluan pengeluaran makanan yang memiliki pensijilan halal untuk semua," katanya kepada Bernama selepas sesi Suara Wanita ASEAN 2015: Berkongsi Kisah Keusahawanan Wanita Luar Bandar, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, di sini Ahad.

Kisah kejayaan yang dikongsi Rozaini pada sesi itu menambat hati hadirin termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri-isteri pemimpin ASEAN lain.

Mengulas lanjut, Rozaini yang membahasakan dirinya Kak Nani, berkata sebelum menceburi industri makanan, beliau terlibat dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, insurans dan juga komunikasi.

Namun katanya sektor-sektor terbabit tidak kena dengan jiwanya sebelum memutuskan untuk memanfaatkan minat memasak beliau dengan menceburi perniagaan dalam industri makanan.

"Saya menggesa kepada semua yang mahu memulakan perniagaan agar terbabit dalam bidang yang mereka mahir...jangan sekadar ikut trend kerana trend tidak bertahan," katanya.

Antara produk beliau yang mendapat sambutan ramai ialah cucur badak, martabak mini, cucur kacang, onde-onde dan karipap pusing yang dijual di pasar raya francais Tesco, Giant dan Mydin di seluruh Malaysia.

Beliau juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa di Singapura, Brunei dan Australia selain memulakan perkongsian dengan syarikat Jepun, Tokaici Seika bagi mengeluarkan kek mochi, iaitu juadah pembasuh mulut masyarakat Jepun.

Pada masa sama, ibu kepada lima anak ini turut memastikan kejayaannya dikongsi dengan masyarakat setempat di Kedah dengan mengambil bahan mentah seperti serai dan kelapa daripada hampir 30 pembekal di situ.

Sumber Bernama 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Usahawan Wanita Luar Bandar ASEAN Luar Tembusi Pasaran Dunia Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top