Latest News

Thursday 17 December 2015

Agong Kurnia Darjah Kebesaran Dan Pingat Kepada 132 Penerima



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Khamis berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan tahun 2015 kepada 132 orang penerima.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat pengurniaan itu di Istana Negara di sini bersempena ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka yang disambut pada 6 Jun lepas.

Mendahului senarai penerima darjah pada istiadat pengurniaan kali ini ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Baling, Kedah, Datuk Harun Abdul Aziz yang menerima Darjah Kesatria Mangku Negara (KMN).

Antara penerima lain darjah berkenaan ialah anggota Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh, Timbalan Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Abd Gani Othman dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kampar, Perak, Datin Normah Hanum Datuk Ibrahim.

Turut menerima KMN ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Tinggi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Asiah Md Ariff.

Seri Paduka turut mengurniakan Darjah Ahli Mangku Negara (AMN) kepada 30 penerima termasuk Ketua Cawangan Tadbir 509 Askar Wataniah Pulau Pinang Leftenan Kolonel Zaharim Taharim, Pegawai Bomba Tentera Laut Diraja Malaysia Leftenan Komander Mohd Tawil Tajudin dan bekas Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kelantan Dr Azri Adzhar.

Selain itu, sejumlah 57 individu lain menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN).

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Agong Kurnia Darjah Kebesaran Dan Pingat Kepada 132 Penerima Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top