Latest News

Monday 14 December 2015

Agong Rai Pasukan Kedah Selaku Naib Juara Piala Malaysia 2015


KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan malam meraikan pasukan bola sepak Kedah selaku Naib Juara Piala Malaysia 2015 di Dewan Serbaguna Istana Negara, malam ini.

Turut berangkat Tunku Temenggong Kedah Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badli Shah, Tunku Laksamana Kedah Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badli Shah dan Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dan ahli jemaah pemangku Sultan Kedah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhkriz Tun Mahathir.

Kedah mara ke final Piala Malaysia tahun ini berdepan Selangor selepas kali terakhir menjuarai piala itu pada 2008.

Namun Kedah tewas 0-2 kepada Selangor pada perlawanan di Stadium Shah Alam malam tadi.

Sementara itu, Mukhriz ketika berucap berkata walaupun tidak menjulang piala berprestij berkenaan, pasukan Kedah nyata beraksi cemerlang pada musim ini.

"Walaupun hajat selama tujuh tahun untuk kembali menjulang Piala Malaysia masih tidak kesampaian, namun muncul Naib Juara membuktikan Kedah (berusaha) berhabis-habisan walaupun sebagai pasukan bukan pilihan pada awal musim," katanya.

Beliau berkata, misi untuk kembali membawa Piala Malaysia ke Kedah seperti kejayaan 2008 tetap akan menjadi agenda utama pasukan 'Helang Merah' itu.

Kerajaan negeri pada masa ini katanya telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan tahap dan kualiti bola sepak negeri terus cemerlang.

"Ia termasuk menaiktaraf Stadium Darul Aman demi keselesaan pemain dan penonton.

"Penukaran logo pasukan dari Kenari ke Helang Merah dengan perkenan Tuanku juga menyuntik semangat baharu pemain selain program pembangunan bakat-bakat baharu bola sepak negeri," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Agong Rai Pasukan Kedah Selaku Naib Juara Piala Malaysia 2015 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top