Latest News

Tuesday 15 December 2015

Kedah Mahu Lahirkan Usahawan Dalam Aeroangkasa



Kedah berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang aeroangkasa pada masa akan datang sekiranya projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Datuk Suraya Yaacob berkata ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang bercadang mewujudkan tujuh taman industri yang baharu pada masa depan termasuk industri aeroangkasa.

"Kita telah berjaya wujudkan satu daripadanya iaitu 'Rubber City' dan kita bercadang mewujudkan taman industri aeroangkasa sekiranya projek lapangan terbang itu dilaksanakan.

"Ia akan membuka peluang kepada usahawan bumiputera tempatan untuk menceburi bidang ini dan turut dibantu dengan pekerja mahir tempatan," katanya pada majlis penutup Karnival Permotoran Kedah 2015 di sini hari ini.

Katanya Majlis Amanah Rakyat (MARA) bertanggungjawab untuk merealisasikan impian itu dengan melahirkan tenaga kerja mahir dan teknousahawan dalam membantu merancakkan lagi ekonomi negara ini.

Sementara itu, Suraya berkata karnival permotoran yang diadakan sejak Jumaat lepas memberi peluang kepada usahawan tempatan mengetengahkan produk mereka kepada masyarakat luar.

Selain itu, katanya ia turut membuka peluang kepada mereka yang tidak bernasib baik dalam pelajaran untuk mendapatkan ilmu kemahiran di Institut Kemahiran Mara dan Giat Mara.

"Karnival ini membuka mata orang ramai mengenai kemajuan industri permotoran dan membangunkan budaya keusahawanan dalam bidang automotif berskala besar di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Mahu Lahirkan Usahawan Dalam Aeroangkasa Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top