Latest News

Thursday 24 December 2015

Mangsa Bot Nelayan Dilanggar Feri Muatan Di Kuala Kedah Ditemui


Mayat nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya dilanggar feri membawa muatan kenderaan di perairan Kuala Kedah semalam, dijumpai pagi tadi.

Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata mayat Abdullah Mat Ali, 53, dari Taman Sri Gemilang, Mergong di sini ditemui pada pukul 10.18 pagi tadi oleh nelayan.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 1.5 batu nautika dari tempat dia dilaporkan jatuh. Mayat telah diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Jamalludin berkata operasi yang tamat 11 pagi tadi disertai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan nelayan.

Dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah malam semalam, mangsa yang sedang mencandat sotong bersama rakannya terjatuh dari bot mereka selepas dilanggar feri kargo yang membawa muatan kenderaan ke Pulau Langkawi.

Rakan mangsa, Amri Haron, 31, sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada tali di tepi feri kargo terbabit.

--BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Mangsa Bot Nelayan Dilanggar Feri Muatan Di Kuala Kedah Ditemui Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top