Latest News

Thursday 24 December 2015

EG Industries Labur RM30 Juta Bagi Kilang Baharu Di Kedah



Penggiat perkhidmatan pengeluaran elektronik (EMS), EG Industries Bhd, berhasrat melaburkan kira-kira RM30 juta bagi pembinaan kilang baharunya di Sungai Petani, Kedah.

Kemudahan yang terletak bersebelahan kilang sedia ada kumpulan itu, akan melonjakkan kapasiti ruang pengeluarannya di Malaysia sebanyak 50 peratus kepada 229,557 kaki persegi (21,326.5 meter persegi), kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Kilang baharu ini khusus bagi operasi pengacuan suntikan plastik yang akan meningkatkan skop EMS kumpulan yang turut merangkumi penghasilan 'box-build' dan melengkapi kepakaran sedia ada iaitu pengeluaran papan litar cetak.

"Ia turut meningkatkan kapasiti kami bagi pelanggan lebih besar, terutamanya melibatkan kerja-kerja daripada peringkat reka bentuk sehinggalah kepada pengeluaran akhir," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan merangkap Pengarah Eksekutifnya, Alex Kang.

'Box-build' merujuk kepada perkhidmatan perusahaan daripada proses reka bentuk sehinggalah penghantaran produk lengkap kepada pengguna.

Menurut Kang, setakat ini, syarikat itu telah menerima tempahan bagi 'box-build' bernilai RM150 juta yang dijangka dapat disiapkan dalam kilang sedia ada dan baharu berkenaan.

"Pada masa sama, kami juga dalam usaha menarik pelanggan baharu dengan mengetengahkan rekod pencapaian serta perkhidmatan bersepadu yang kami miliki," katanya.

Operasi kilang baharu itu dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2016.

Ia melibatkan perbelanjaan modal kira-kira RM30 juta bagi tujuan pembesaran kemudahan, termasuk pembelian mesin yang akan ditanggung menerusi terbitan hak yang dapat dimuktamadkan, baru-baru ini.

Sementara itu, pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu hari ini, para pemegang sahamnya meluluskan langkah belian semula saham yang membolehkan syarikat itu membeli semula sehingga 10 peratus terbitan modal saham dan modal berbayar.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: EG Industries Labur RM30 Juta Bagi Kilang Baharu Di Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top