Latest News

Thursday 24 December 2015

Imam Selesaikan Larian Lebih 500km Dari Shah Alam Ke Alor Setar


Selepas melakukan larian selama 10 hari meliputi jarak lebih 500km dari Shah Alam ke Alor, Nasir Abbas, Imam Masjid Lama Kuala Kedah menamatkan lariannya tepat pada 5.40 petang ini di Stadium Darul Aman di sini.

Ketibaan Nasir, 60, disambut oleh lebih 300 penyokong "Helang Merah", pasukan bola sepak negeri, yang turut sama berlari mengiringi peringkat akhir lariannya ke perkarangan stadium itu.

Larian bermula dari Stadium Shah Alam pada 13 Dis.


"Saya bersyukur kerana berjaya menamatkan larian dalam keadaan yang baik dan selamat.

"Keadaan cuaca yang panas dan hujan sedikit menyukarkan larian saya, namun ia tidak mematahkan semangat.

"Semangat untuk menamatkan larian semakin berkobar-kobar kerana sepanjang perjalanan saya mendapat sokongan dari peminat bola sepak dari negeri-negeri yang saya lalui," katanya kepada pemberita.

Berasal dari Taman Sri Putra, Kuala Kedah, Nasir berlari sebagai tanda sokongan kepada pasukan Helang Merah kerana berjaya memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, idea untuk membuat larian itu datang secara spontan.

Walaupun tewas kepada Selangor pada perlawanan itu, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan larian sehingga ke garisan penamat di Stadium Darul Aman.

"Selepas berbincang dengan penyokong-penyokong Kedah dari Kuala Kedah, saya berfikir ini merupakan masa terbaik untuk menunjukkan tanda sokongan kepada pemain-pemain Kedah," katanya.



Anggota Exco Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan dan Pembangunan Insan negeri Aminuddin Omar yang turut berada di perkarangan stadium itu berkata larian Nasir itu merupakan motivasi kepada golongan muda.

"Pak Nasir yang berusia 60 tahun ini mampu berlari sejauh lebih 500 kilometer, jadi saya yakin anak muda dapat mengambil aura positif yang ada pada diri Pak Nasir," katanya.

Beliau berkata, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengadakan majlis kesyukuran atas usaha Nasir dan menanggung keseluruhan kosnya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Imam Selesaikan Larian Lebih 500km Dari Shah Alam Ke Alor Setar Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top