Latest News

Tuesday 22 October 2019

#bajetkedah2020 : Isu Gunung Pulai, Baling



SELASA (22.10.2019)

ALOR SETAR - Menteri Besar, Dato' Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir telah mengadakan perbincangan bersama pihak Yayasan Islam Negeri Kedah (Yiked) Holdings Sdn. Bhd. serta Jabatan Mineral dan Geosains (JGM) mengenai usaha untuk mengubah kawasan kuari di Gunung Pulai, Baling ke kawasan lain.

Menurutnya, setakat ini rundingan tersebut dijalankan secara tidak formal dengan laporan diterima daripada JMG menunjukkan terdapat kawasan lain yang lebih sesuai untuk melaksanakan aktiviti tersebut.


"Laporan JMG menyebut ada kawasan lain yang tak ramai atau tidak ada penduduk di kawasan situ. Malah sudah ada jalan disediakan dan memang ada kerja-kerja kuari dijalankan oleh pihak lain, yang boleh dipertimbangkan (Untuk pelaksanaan kuari oleh Yiked).

"Perkara ini telah dibangkitkan kepada Yiked. Mereka selepas ini boleh mengenal pasti tapak dimaksudkan itu menerusi perbincangan dengan JMG, sebelum membuat permohonan baharu kepada pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abd. Nasir Idris (Pas-Bayu) yang bertanyakan mengenai keputusan terkini berhubung projek kuari batu kapur tersebut dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mukhriz berkata, beliau sendiri sebelum ini telah melawat Gunung Pulai bersama Abd. Nasir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Md Zuki Yusof serta mengadakan perjumpaan dengan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan yang mengusahakan sektor pelancongan di lokasi terbabit.

"Kita dapati projek kuari ini memang akan mengganggu potensi pelancongan di Gunung Pulai khususnya gua-gua yang terletak berdepan tempat dimaksudkan," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri sedar akan hakikat betapa sektor pelancongan dalam jangka masa yang singkat tentunya tidak mampu menyaingi hasil diperolehi menerusi kerja-kerja kuari.

Namun dalam masa sama katanya, kerajaan negeri sentiasa mengambil serius soal kelestarian alam sekitar dan potensi pelancongan.

"Jika ada satu cadangan alternatif dari segi pelancongan, kerajaan sedia mempertimbangkannya. Kita terbuka menerima cadangan daripada mana-mana pihak sama ada penduduk atau pihak swasta yang berminat.

"Selain itu saya juga boleh cadangkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berminat untuk berbincang dengan penduduk, merangka strategi serta kertas kerja untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi dipertimbangkan," katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: #bajetkedah2020 : Isu Gunung Pulai, Baling Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top