Latest News

Wednesday 23 October 2019

575 MASJID DI KEDAH TERLIBAT PELAKSANAAN 'FOOD BANK'


RABU 23.10.2019

ALOR SETAR - Kesemua 575 masjid di Kedah kecuali Masjid Zahir yang merupakan masjid negeri, terlibat dengan pelaksanaan bank makanan (food bank) hasil inisiatif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), Dato' Dr. Ismail Salleh berkata, Kedah menjadi negeri pertama yang melaksanakan dasar tersebut sejak inisiatif berkenaan dimulakan tahun lalu.

"Setakat ini LZNK telah membelanjakan sebanyak RM12 juta untuk inisiatif tersebut dengan pecahan RM2 juta untuk tahun pertama pelaksanaannya iaitu 2018, dan RM10 juta untuk tahun ini.

"Setiap masjid dibekalkan dengan 30 set makanan asas antaranya beras, tepung dan gula
pada setiap bulan yang diamanahkan kepada imam. Golongan B40 yang terputus bekalan makanan boleh memohon melalui imam tersebut dan pek makanan berkenaan akan diserahkan kepada selepas melalui prosedur tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato' Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) yang bertanyakan mengenai jumlah masjid dijadikan bank makanan mengikut daerah dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beberapa penambah baikan masih boleh dilakukan termasuklah pelaksanaan 'profiling' ahli kariah masing-masing oleh pihak masjid.

"Langkah itu dapat membantu pihak masjid untuk mengenal pasti jumlah golongan B40 yang terdapat dalam kalangan ahli kariah mereka. Apabila jumlah itu ramai, mungkin golongan yang memerlukan bantuan bank makanan ini juga akan meningkat.

"Seperkara lagi, mungkin juga keperluan di bandar berbeza dengan mereka yang berada di luar bandar. Ini antara perkara yang akan diperhalusi," katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 575 MASJID DI KEDAH TERLIBAT PELAKSANAAN 'FOOD BANK' Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top