Latest News

Thursday 23 January 2020

KEDAH TERIMA PELABURAN TERBAHARU 1.6 BILION




ALOR SETAR - Kedah terus mengukuhkan kedudukan dalam pembangunan industri kelas berteknologi hijau dengan temeterainya perjanjian persefahaman (MoU) pelaburan berjumlah RM1.6 bilion antara pelabur dari China, Zhejiang Element Holding Co. Ltd. dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Invest Kedah Berhad.

Pemeteraian perjanjian tersebut melibatkan tiga bentuk pelaburan dengan salah satunya adalah, pembangunan fasiliti pembuatan lantai kayu bernilai RM150 juta oleh anak syarikat Zhejian Element Holding iaitu Yunhua Timber Company Limited di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Sungai Petani.

Bahagian kedua melibatkan pembangunan fasiliti pemprosesan kertas berteknologi hijau dengan kapasiti sebanyak RM1.3 juta tan yang mana nilai pelaburannya berjumlah RM1.6 bilion dan terbahagi kepada tiga fasa pembangunan.

Manakala pelaburan ketiga pula melibatkan kerjasama dengan kerajaan negeri berkaitan industri perkayuan dan perhutanan termasuk membawa teknologi moden bagi sektor penanaman serta pemprosesan pokok eucalyptus, di samping lain-lain kayu setara dengannya, sekali gus membina rantaian industri ekologi baharu di Kedah.

Pemeteraian perjanjian itu disempurnakan Pengurus Besar Kanan Invest Kedah, Zafir Annuar Ghazali dan Presiden Zhejiang Element Holding Co., Ltd., Jin Yeuhua sambil disaksikan Menteri Besar, Dato' Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir serta Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Sr. Tan Kok Yew di Wisma Darul Aman petang semalam.

Zhejiang Element Holding merupakan syarikat yang memiliki kepakaran dalam industri perkayuan dan telah menembusi pasaran di lima benua melibatkan 20 negara serta wilayah.

Sementara itu Mukhriz dalam sidang akhbarnya memaklumkan, jalinan kerjasama antara pihak terlibat akan membuka ruang dan peluang bagi pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan dalam pembiakan, penanaman dan pemprosesan 'eucalyptus'.

Beliau menjelaskan, penanaman pokok itu bakal dilaksanakan di tanah-tanah yang menjadi lokasi penebangan untuk projek ladang hutan satu ketika dulu, yang kini masih kosong tanpa ada penanaman semula.

"Kedah masih ada tanah sebegitu dan kita akan dapatkan pandangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bagi mengenal pasti sama ada eucalyptus ini boleh ditanam atau tidak. Kalau tidak dibenarkan, kita akan tengok jenis-jenis pokok yang sesuai.

"Pokok-pokok itu kemudiannya akan digunakan pakai untuk tujuan pembekalan bagi operasi kilang yang dimaksudkan tadi," katanya.

Tambahnya, kerjasama tersebut bakal mewujudkan hingga 600 peluang pekerjaan yang akan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Pada majlis sama Zhejiang Element Holding Co. Ltd turut menandatangani perjanjian persefahaman bersama syarikat tempatan, Genting Ehsan (SP) Sdn. Bhd. yang akan bertindak sebagai rakan strategik pelaburan syarikat itu di sini.





  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KEDAH TERIMA PELABURAN TERBAHARU 1.6 BILION Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top