Latest News

Saturday 26 March 2016

14 Kes Melibatkan Cuaca Panas Di Kedah


Kedah kini mencatatkan 14 kes masalah kesihatan membabitkan cuaca panas dalam tempoh 1 Mac sehingga 23 Mac lalu.

Pengarah Kesihatannya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata dua kes pertama dilaporkan pada 2 Mac, diikuti 12 Mac (satu kes), 20 Mac (dua kes), 21 Mac (lima kes), 22 Mac (satu kes) dan 23 Mac (tiga kes).

"Tiada trend peningkatan dilihat dan kes yang paling tinggi ialah pada 21 Mac iaitu lima kes.

"Bagaimanapun, tiada kes strok haba dilaporkan berlaku, cuma terdapat tiga kes kekejangan haba dan 11 kes keletihan haba," katanya kepada media selepas menghadiri majlis penutup program '9th Advance Wound Management Symposium in Orthopaedic 2016' di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani hari ini.

Norhizan berkata kes terbabit dicatatkan berlaku di empat daerah iaitu lima kes di Kota Setar, Langkawi (empat kes), Kulim (tiga kes) dan dua kes di Kubang Pasu.

"Kami akan terus membuat pemantauan, khususnya di sembilan hospital dan 58 klinik kesihatan di negeri ini," katanya.

Sementara itu, alat pendingin hawa dan kipas mendapat sambutan orang ramai di sekitar bandar raya ini ekoran cuaca panas di Kedah sekarang. Suhu dilapor mencecah 39 darjah Celcius di negeri itu sekarang.

Seorang pemilik kedai barangan elektrik, Seng Ah Yat berkata sejak awal bulan Mac, penjualan kedua-dua peralatan tersebut meningkat.

"Sebelum ini dalam sehari, belum tentu saya dapat menjual sebuah alat pendingin hawa. Tetapi berikutan cuaca panas sekarang, saya dapat menjual lebih lima unit pendingin hawa dalam bulan ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kedainya turut mendapat permintaan tinggi bagi kipas angin.

Seorang pembeli, Mohd Fikri Abd Hassan, 35, berkata beliau membeli alat pendingin hawa untuk anak-anaknya.

"Saya perlu membelinya kerana setiap malam anak-anak mengadu sukar tidur kerana merasa panas dan badan mereka berpeluh. Sebelum ini rumah saya hanya mempunyai kipas angin," katanya.

Zuriati Ahmad, 38, pula berkata beliau membeli dua buah kipas angin berdiri sebagai tambahan untuk diletak di bilik anak-anaknya, di samping kipas siling sedia ada.

- Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 14 Kes Melibatkan Cuaca Panas Di Kedah Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top