Latest News

Friday 10 June 2016

Nikmat Ramadan dan Rokok



RAMADAN ialah bulan yang mulia, yang terpilih sebagai bulan untuk berpuasa dan pada bulan ini juga al-Quran diturunkan. Umat Islam yang sudah baligh dan berakal diwajibkan berpuasa sebulan penuh sepanjang Ramadan kecuali bagi mereka yang uzur, iaitu mereka yang mempunyai sebab yang dibenarkan untuk meninggalkan puasa.

Melaksanakan ibadah puasa bukan sekadar menahan rasa haus dan lapar sahaja, tetapi juga menahan diri daripada hal-hal lain seperti segala kehendak nafsu, amarah dan perbuatan lain yang dilarang; sebagai jalan menuju sabar yang takwa.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah: 183)

Azran Lee baru dua bulan memeluk agama Islam. Walaupun baru sahaja kembali kepada agama fitrah ini, dia tidak mempunyai masalah untuk meninggalkan arak walaupun agak sukar pada mulanya.

Begitu juga kegemaran beliau membeli nombor ekor yang berjaya dia tinggalkan. Hanya satu yang masih sukar untuk Azran tinggalkan, iaitu rokok yang sudah mula dihisapnya sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Berhenti merokok bukanlah perkara yang mudah baginya walaupun sedar rokok telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak tahun 1995. Dia pernah cuba berhenti merokok dengan pelbagai cara tetapi belum berjaya meninggalkan tabiat itu.

Mungkin akibat terjerat dengan dadah nikotin yang telah sebati dalam badannya walaupun dia sedar badannya telah diracuni lebih 6,000 bahan kimia yang berbahaya, di mana 69 daripadanya telah dibuktikan secara saintifik sebagai penyebab kanser sebagaimana kenyataan akhbar Menteri Kesihatan pada 14 Ogos 2012.

Sahabatnya Dr Syed Abdul Khaliq yang merupakan Pakar Perubatan Pediatrik telah mencadangkan agar Azran cuba berhenti merokok Ramadan tahun ini. Umat Islam berpuasa hampir 14 jam sehari dan selama itu juga mereka tidak makan dan minum, dan selama itu juga perokok mengawal diri daripada merokok.

Sememangnya Ramadan yang mulia ialah masa terbaik bagi Azran untuk berhenti merokok selama-lamanya. Tahun ini Azran bertekad untuk mencapai matlamat itu. Dia tidak mahu menjadi seperti segelintir umat Islam yang berpuasa tetapi sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang, sesudah meneguk air dan memakan buah tamar, mereka terus mendapatkan rokok untuk menghilangkan ketagihan. Ada pula yang boleh menunggu sehingga habis makan, sebelum “mencuci mulut” dengan beberapa batang rokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, dalam laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 31 Mei 2016, memaklumkan bahawa dianggarkan 20,000 rakyat negara ini meninggal dunia setiap tahun akibat komplikasi merokok.

Menurut beliau, sehingga kini, terdapat sejumlah 5 juta perokok di Malaysia, di mana golongan lelaki merupakan yang tertinggi (43 peratus) manakala golongan wanita pula menunjukkan peningkatan (1 peratus pada 2011 kepada 1.4 peratus pada 2015).

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, statistik menunjukkan rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini meningkat daripada 18 bilion batang rokok pada 1988.

Cuba bayangkan jumlah pembaziran yang berlaku. Berapa banyak wang yang diperlukan untuk membeli rokok sebanyak itu. Katakan setiap batang rokok memberikan keuntungan 10 sen kepada pengeluar rokok. Ini bermaksud mereka mendapat keuntungan RM2.37 bilion daripada rakyat Malaysia setahun.

Umat Islam sepatutnya mengambil kesempatan berhenti merokok pada bulan Ramadan kerana di samping menyihatkan badan, ia juga menjimatkan perbelanjaan. Ambillah peluang ibadah puasa tahun ini untuk mentarbiahkan diri agar berhenti merokok. Tinggalkanlah rokok yang telah diharamkan kerana ia terbukti memudaratkan bukan sahaja perokok tetapi orang lain juga.

Bulan Ramadan menyediakan suasana yang sangat baik untuk berhenti merokok. Ini sangat berbeza dengan bulan-bulan lain. Suasana ini dapat membantu memberikan kekuatan mental untuk mengatasi ketagihan.

Marilah kita sama-sama memohon keberkatan Ramadhan al-Mubarak ini untuk mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada semua. Saya doakan kita berjaya meraih kejayaan dan semoga sahabat-sahabat yang dikasihi juga berjaya mengucapkan selamat tinggal kepada rokok.

- Johari Yap

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Dipetik dari ruanganKolumnis Sinar Harian 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Nikmat Ramadan dan Rokok Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top