Latest News

Wednesday, 27 July 2016

Siasatan 1MDB: Gerakan untuk menjatuhkan pemimpin dan Kerajaan yang dipilih secara demokrasi? - Mukhriz



Mukhriz Mahathir

27/7/16

1. Kebelakangan ini kita acap kali mendengar Najib Razak dan konco-konconya berhujah kononnya siasatan pelbagai pihak ke atas penyelewengan berskala besar 1MDB adalah suatu gerakan untuk mengguling pemimpin dan Kerajaan yang dipilih melalui proses demokrasi. Kenyataan mereka seolah-olah mengandaikan bahawa sesiapa sahaja yang mempertikaikan 1MDB sebenarnya melanggar prinsip-prinsip demokrasi. Diandaikan juga bahawa seseorang pemimpin atau Kerajaan yang dipilih oleh Rakyat melalui proses demokrasi, iaitu pilihanraya dan pemilihan parti, dilindungi imuniti dari sebarang tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah melakukan pecah amanah, rasuah dan sebagainya.

2. Najib Razak, menteri-menterinya, ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO serta beberapa ketua NGO upahan menuduh semua pihak yang membangkitkan kes 1MDB ini sebagai penggerak kudeta untuk menjatuhkannya dan BN secara tidak demokratik. Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato' Seri Shafie Apdal, saya sendiri, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, ketua-ketua NGO, dan yang terbaharu Jabatan Keadilan, Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat dan lain-lain juga tidak terkecuali dari tuduhan itu.

3. Agaknya yang cuba digambarkan adalah adanya suatu konspirasi besar-besaran yang melibatkan pihak dalam dan luar negeri yang bersubahat untuk menjatuhkan Najib dan BN dengan cara yang melanggar lunas-lunas demokrasi negara. Adakah ini masuk akal?

4. Yang perlu Rakyat persoalkan ialah adakah dengan terpilihnya Najib Razak sebagai Presiden UMNO (parti terbesar dalam BN) oleh perwakilan Perhimpunan Agong UMNO tanpa dicabar oleh mana-mana tokoh UMNO yang lain bermaksud Rakyat yang memilihnya menjadi Perdana Menteri? Adakah dengan kemenangan tipis majoriti mudah BN di PRU13 yang lepas, di ketika tiada langsung kes-kes mengenai 1MDB, RM2.6 bilion dan SRC International, menghalalkan apa jua tindakan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh Najib sekarang? Bila pula Rakyat memberi kebenaran kepada Najib untuk songlap duit Rakyat melalui skim pengubahan wang haram 1MDB yang bernilai berbilion-bilion ringgit itu?

5. Kalaupun Najib dipaksa turun sebagai Perdana Menteri sebelum PRU14, bukankah seorang Ahli Parlimen yang menikmati sokongan terbanyak akan diangkat bagi menggantikan beliau? Adakah ini harus bermakna BN akan tumbang? Tentunya tidak.

6. Adakah demokrasi ala Malaysia bermaksud sekali dipilih secara demokratik, maka seseorang pemimpin itu diberi cek yang tidak diisi jumlah tunainya untuk diguna sesuka hati dan dibenarkan bermewah-mewahan dengan wang Rakyat? Adakah demokrasi ala Malaysia juga memberikan keistimewaan kepada seorang pemimpin memperlakukan sesuka hatinya amanah dan harapan Rakyat yang disandar kepadanya? Dan, adakah keistimewaan itu termasuklah terkecuali dari kebertanggungjawaban terhadap duit Rakyat yang disonglap pihak-pihak berkepentingan, sanak saudara dan rakan taulan untuk membeli rumah-rumah mewah di New York, Los Angeles dan London, bayar hutang judi di Las Vegas, biayai pembikinan filem separa lucah di Hollywood, beli jet peribadi dan lukisan-lukisan bernilai puluhan juta dollar?

7. Sebenarnya sistem demokrasi itu sendiri tidak salah walaupun jelas ianya mempunyai kelemahan tertentu, lebih-lebih lagi bila disalahgunakan seperti yang berlaku di Malaysia sekarang. Diakui adalah sukar untuk menegakkan demokrasi supaya sempurna seperti yang dihasratkan oleh pengasas-pengasas negara kita terdahulu. Memanglah demokrasi memberikan kuasa mutlak kepada Rakyat untuk memilih wakil tetapi himpitan hidup akibat ekonomi yang lembab serta macam-macam sogokan yang dimuslihat sebagai aneka bantuan kewangan, barangan dan janji daripada wakil Kerajaan tentu memberi kesan kepada keputusan pilihanraya tersebut. Beriya-iya mereka menghulur bantuan dan menabur janji sehingga mengambus isu-isu genting seperti kewibawaan pemimpin yang culas, tadbir urus Kerajaan yang pincang dan sebagainya. Kesudahannya, kepincangan tidak diperbetulkan, sebaliknya janji-janji habuan kepada Rakyat semakin menjadi-jadi.

8. Sepatutnya seorang pemimpin yang dipilih oleh Rakyat perlu tunjuk teladan terbaik dari segi profesionalisme, kesungguhan bekerja, jujur dan amanah, dan sentiasa mendahulukan Rakyat dan negara. Kita tidak perlukan pemimpin yang diragui integritinya sehingga dilihat sebagai contoh terburuk dalam tadbir urus Kerajaan, dan tidak boleh dipercayai dalam mengurus wang Kerajaan yang diamanahkan oleh Rakyat. Malang dan sedih sekali, inilah yang sedang berlaku pada hari ini. Satu dunia menonton dengan takjub sekali bagaimana Malaysia begitu bertoleransi terhadap seorang Perdana Menteri yang disyaki dengan bukti-bukti yang tidak dipertikaikan telah merompak harta Rakyat.

9. Mungkinkah Rakyat menganggap kes 1MDB ini suatu yang sangat terasing dari kehidupan kita? “Memanglah PM mesti kaya. Pandai-pandai dialah cari duit untuk hidup mewah.” Itu yang mungkin dikatakan atau difikirkan sebahagian daripada kita. Tapi sedarkah kita bahawa negara tidak mampu menanggung hutang berbilion ringgit angkara 1MDB. Apatah lagi sudah didedahkan sekarang bahawa wang berbilion dollar yang dipinjam oleh 1MDB diseleweng untuk tujuan peribadi Najib dan konco-konconya. Semua ini berlaku tatkala kita masih memerlukan dana untuk menampung perbelanjaan negara demi keselesaan dan kemajuan Rakyat. Dana Kerajaan semakin susut, hasil minyak merudum kerana harga minyak sedunia yang rendah. Maka GST diperkenalkan sebagai cukai baharu yang dikenakan ke atas semua Rakyat. Akibatnya, harga barang melambung, tidak pula menurun seperti yang dijanji seorang Timbalan Menteri.

10. Maka, sewaktu Rakyat terpaksa menanggung keperitan dengan kos sara hidup yang meningkat dan segala macam kepayahan, didedahkan oleh siasatan antarabangsa bahawa berbilion-bilion dollar duit Rakyat disonglap oleh 1MDB yang dikuasai Najib untuk menampung hidup mega-mewah anak tiri Najib, Riza Aziz, sahabat konspiratornya Jho Low dan beberapa orang yang lain. Mana mungkin ini boleh dibiarkan? Jelas Najib pecah amanah, tapi adakah kita juga sebagai Rakyat turut tidak amanah dalam memperbetulkan keadaan ini?

11. Bagaimana? Dengan bersuara dalam apa cara sekalipun selagi tidak melanggar undang-undang. Gunakan demokrasi yang ada. Demokrasi tidak terhad hanya kepada pemilihan wakil sahaja. Demokrasi juga bermakna institusi Kerajaan menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Demokrasi juga melibatkan media kita melaporkan berita sebenar tanpa terlalu partisan. Demokrasi juga membenarkan pembetulan dibuat ke atas sebarang keputusan yang dibuat oleh Rakyat apabila muncul maklumat baru yang memerlukan perhatian dan tindakan pihak berwajib.

12. Kalau ini tidak berlaku, percayalah akan tiba masanya negara kita akan hancur di tangan pemimpin yang rakus, yang segala tindakannya itu dihalalkan oleh Rakyat. Generasi akan datang akan kutuk dan sumpah kita semua kerana tidak amanah menjaga kepentingan negara. Malaysia yang sangat berpotensi untuk menjadi negara hebat di persada dunia akan keterbelakang menjadi negara dunia ketiga yang papa kedana – Rakyatnya hidup merempat, pemimpinnya kaya raya.

13. Tapi kalau saudara-saudari mahukan yang terbaik bagi negara, mahu lihat negara kita terselamat dari pemimpin yang pecah amanah, sanggup melakukan apa saja untuk membetulkan keadaan, mahu pulihkan imej negara, mahu wariskan masa depan yang cerah, makmur dan gemilang kepada anak cucu kita, maka sama-samalah berjuang bersama gerakan Selamatkan Malaysia yang kami pelopori ini.

14. Langkahlah dengan berani. Sertai semua aktiviti-aktiviti yang kami anjurkan. Bangkit dan tampil ke hadapan dengan kesedaran dan keinsafan bahawa apa yang kita laung dan perjuangkan adalah demi menyelamatkan Malaysia dan anak watannya dari diperbodoh dan dipersenda pemimpin yang rakus. Ayuh kita tebus maruah dan jatidiri bangsa Malaysia yang sebelum ini gah di mata dunia. Semoga Allah SWT menyelamat kita semua dan membawa kejayaan kepada Malaysia tercinta.


Dato’ Seri Hj. Mukhriz Tun Mahathir
ADUN Ayer Hitam
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Siasatan 1MDB: Gerakan untuk menjatuhkan pemimpin dan Kerajaan yang dipilih secara demokrasi? - Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top