ANTARA yang menjadikan kerjaya wartawan menyeronokkan dan berkesan adalah usaha mendapat scoop (mendahului media lain).
Dalam kalangan wartawan yang ada kecenderungan begini, mereka sentiasa memikirkan siapa perlu ‘ditangkap’ untuk ditemu ramah, apa isu yang perlu diberi tumpuan.
Ketika mula menceburi dunia kewartawanan 43 tahun lalu, bukan sahaja saya ketinggalan dan kabur dalam permainan scoop ini, malah kadangkala jadi mangsa wartawan-wartawan lama.
Saya hanya mengikut garis panduan, menggunakan formula ‘piramid terbalik’ dan ‘lima W satu H’.
Saya masih ingat peristiwa tahun 1979 ketika membuat liputan berita Tun Dr Mahathir Mohamad di Ipoh, Perak.
Ketika itu, beliau adalah timbalan perdana menteri.
Biasalah, apabila perdana menteri atau timbalan perdana menteri turun padang, ramailah wartawan, dari negeri dan ibu pejabat, membuat liputan.
Selepas mencatatkan apa yang Dr Mahathir cakap di majlis itu, kami pun pergi ke majlis jamuan.
Saya berjalan di belakang beliau dan di sebelah kiri beliau berjalan seorang wartawan kanan agensi berita yang nampak asyik mendengar sesuatu daripada Dr Mahathir.
Keesokannya, laporan saya mengenai ucapan timbalan perdana menteri di majlis itu, dengan byline (larik nama) sekali, terpampang di muka depan The New Straits Times.
Sukanya hati saya tidak terperi.
Sehari kemudian saya terkejut membaca di muka depan akhbar saya juga, satu kenyataan Dr Mahathir yang dirakamkan di majlis yang sama.
Pengarang saya dari ibu pejabat bertanya kenapa saya boleh terlepas kenyataan itu.
Itulah kenyataan yang wartawan kanan itu dapat ketika dia berjalan di samping Dr Mahathir. Saya kena scoop rupanya!
Saya terima itu sebagai pengajaran baharu dalam dunia kewartawanan. Hari itu juga saya berjanji pada diri sendiri, bukan sahaja saya tidak akan benarkan sesiapa pun scoop saya lagi, malah berazam untuk dapatkan scoop sebanyak mungkin.
Pengalaman saya menunjukkan untuk scoop, anda perlu tunaikan dua syarat; pertama, jalin hubungan baik dengan pemimpin dan orang-orang sekeliling mereka dan kedua, sentiasa buat kerja rumah untuk tentukan anda ada soalan-soalan sendiri yang wartawan lain tidak ada.
Kalau anda lakukan demikian, bukan sahaja anda boleh scoop sambil berjalan dan berbisik dengan pemimpin, malah anda mampu scoop ketika menyoal pemimpin pada sidang media sekali pun.
Saya ingat peristiwa ketika buat liputan lawatan Dr Mahathir, sebagai perdana menteri, ke Terengganu pertengahan 90-an.
Di hujung lawatan beliau, satu sidang media diadakan di bawah khemah di tepi laut, di Kemaman. Ramai wartawan - hampir 20 orang - ikut membuat liputan. Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad turut hadir.
Seperti biasa saya beritahu setiausaha akhbar Dr Mahathir saya ada banyak soalan dan awal-awal lagi saya ambil tempat duduk paling hampir dengan perdana menteri.
Bermula sahaja sidang media, saya tanya satu demi satu soalan. Tanpa disedari, rupa-rupanya saya sudah mengutarakan 21 soalan kepada perdana menteri.
Hasil daripada sidang media itu, saya menghantar satu laporan pada hari pertama dan terus menghantar beberapa berita lagi untuk dua hari berturut-turut.
Wartawan-wartawan lain tidak menghantar sebanyak itu kerana mereka tidak perasan dengan latar belakang isu-isu yang saya tanya pada perdana menteri.
Perlu disebut di sini, Dr Mahathir adalah jenis pemimpin yang akan membiarkan anda habiskan soalan dan akan menjawab tiap-tiap soalan.
Sama ada kita setuju atau tidak dengan jawapan beliau satu perkara lain, tetapi yang saya hormati beliau tidak mengelak daripada menjawab soalan yang diutarakan.
Saya berkata demikian kerana ada pemimpin yang apabila ditanya, anda belum habis soalan dia sudah matikan soalan, apa lagi untuk menjawabnya.
Pemimpin jenis begini membuat saya rasa curiga dengan kemampuan mereka menangani soalan yang dikemukakan. Wallahuaklam!
Dipendekkan cerita, selepas kemukakan 21 soalan yang dijawab semuanya, saya memberitahu Dr Mahathir: “Saya dah tak ada soalan lagi. Kawan-kawan saya pula nak tanya”.
Dr Mahathir dengan selamba berkata: “You dah tanya macam-macam, apa lagi depa (mereka) nak tanya?” - SH
0 comments:
Post a Comment