Latest News

Wednesday 16 November 2016

Mukhriz terima rungutan pemain Kedah



ALOR SETAR – Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap permasalahan yang berlaku terhadap pasukan hijau kuning setelah menjuarai perlawanan akhir Piala Malaysia, baru-baru ini.

 Beliau berkata, banyak rungutan diterima pemain dan kakitangan pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) apabila belum dimuktamadkan pasukan bagi musim 2017, selain pembayaran bonus yang dijanjikan tidak menyeluruh.

 “Saya sendiri sebut pada 2013 bahawa dalam tempoh beberapa tahun hijau kuning akan masuk pusingan akhir Piala Malaysia. Alhamdulillah, kita berjaya lakukan dan menjuarainya. Itulah dimaksudkan janji dikota.

 “Walaupun begitu, saya rasa sedih dan kecewa rungutan daripada pemain-pemain dan kakitangan pengurusan KFA bahawa setakat ini belum dimuktamadkan pasukan kita bagi musim 2017. Sehinggakan ramai pemain kita dipinang oleh pasukan lain, mungkin ada juga yang telah diberi tawaran yang lumayan,” katanya.

 Mukhriz berkata, sekiranya permasalahan itu tidak dibendung daripada awal, kemungkinan akan menyaksikan pasukan Kedah berpecah tanpa pemain-pemain yang telah menunjukkan prestasi permainan yang begitu hebat sepanjang musim 2016.

 “Tambahan pula, bonus hanya dibayar kepada pemain-pemain dan juga beberapa orang jurulatih sahaja, termasuk ketua jurulatih. Tetapi pihak pengurusan dan sebahagian pasukan tidak diiktiraf sumbangan mereka kepada kejayaan yang diperoleh baru-baru ini.

 “Tentu ini menjejas moral pasukan secara keseluruhan. Maklumlah dalam acara berpasukan ini semangat berpasukan itu sangat penting. Kalau seorang tak dapat habuan seperti yang dijanjikan, pihak lain yang terima habuan pun terasa,” katanya.

 Adun Ayer Hitam itu turut mengharapkan agar perhatian diberikan kepada pemain dan semua anggota pengurusan, termasuk jurulatih KFA supaya tidak mengecewakan peminat nombor satu hijau kuning iaitu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Sultan Kedah.

 “Sepertimana kita tahu, betapa susahnya untuk kita mencapai tahap yang begitu membanggakan. Tetapi sebenarnya tak kurang susah juga untuk pertahankan kedudukan sebagai juara,” katanya.

Sumber Sinar Harian
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Mukhriz terima rungutan pemain Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top