Latest News

Tuesday, 18 April 2017

Mukhriz serah notis untuk berdebat dengan Haris




ALOR SETAR - Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah menghantar notis makluman kepada polis berhubung cadangan debat dengan Naib Ketua Umno Pokok Sena, Haris Che Mat, lewat petang semalam.

Notis itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, bagi mendapatkan kebenaran mengadakan debat yang sebelum ini dicadangkan di Padang Sera, Jerlun.

Mukhriz yang juga Pengerusi Pimpinan Bersatu Kedah berkata, pihaknya mencadangkan 27 April atau 5 Mei depan, untuk mengadakan debat itu di Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, Alor Setar.

“Tajuk yang saya cadangkan adalah, ‘Kekayaan anak-anak Tun Mahathir vs Kekayaan Riza Aziz, siapa yang halal dan siapa yang haram?’. Saya juga telah nyatakan waktu debat, iaitu bermula 9.00 hingga 11.00 malam dengan jemputan seramai 600 orang,” katanya, yang kini berada di United Kingdom bagi menjayakan program wacana Kick Off PRU14 bersama komuniti Malaysia.


Menurutnya, tujuan debat adalah untuk memperjelaskan perkara dibangkitkan Haris yang juga bekas pembantu khasnya, ketika beliau dicabar untuk bersemuka di pentas debat itu.

“Haris telah dimaklumkan mengenai perkara ini, saya mahu beliau menjawab pertanyaan yang saya pernah bangkitkan sebelum ini, antaranya, dari manakah Riza Aziz mendapat kekayaan untuk membikin filem lucah Wolf of Wall Street, dengan kos AS$100juta serta membayar hutang judi AS$13 juta di pusat perjudian Las Vegas,” katanya.

Mukhriz berkata, tindakannya mengemukakan notis debat adalah untuk membuktikan dirinya tidak pernah mengelak daripada menyahut cabaran debat Haris, seperti didakwa beberapa pihak.

“Saya buat permohonan kepada polis bagi membantu Haris realisasikan debat memandangkan Haris membisu seribu bahasa selepas IPD Kubang Pasu menolak tarikh dicadangkan beliau pada 8 dan 15 April lalu, di Padang Sera,” katanya.

Menurutnya, notis pemberitahuan ini memenuhi syarat ditetapkan bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, iaitu 10 hari sebelum tarikh program.

“Sekiranya tarikh 27 April ditolak, saya telah cadangkan 5 Mei sebagai tarikh gantian. Jika Haris menolak tarikh yang saya cadangkan, atau tidak hadir pada hari tersebut atas apa alasan sekali pun, saya akan saman Haris, TV3 dan pihak yang berterusan menjejaskan reputasi saya dan keluarga kebelakangan ini,” katanya.

Mukhriz berkata, pengurusan Dewan Perhimpunan Melayu Kedah juga tiada halangan dan bersetuju untuk membenarkan premis itu dijadikan lokasi debat.

“Saya memilih Alor Setar sebagai lokasi debat kerana ia kawasan yang neutral, berbanding kawasan Jerlun yang dicadangkan Haris atau Pokok Sena yang pernah saya cadangkan sebelum ini. Saya wakil rakyat di Jerlun manakala Haris dari Umno Pokok Sena, jadi Alor Setar pilihan terbaik,” katanya.

Sebelum ini, Haris mencabar Mukhriz berdebat pada 8 April lalu, namun batal ekoran penganjur gagal memenuhi syarat ditetapkan polis. Bagaimanapun, Haris sekali lagi gagal menghantar permohonan permit baharu pada tarikh pilihannya, 15 April menyebabkan debat itu belum berlangsung sehingga kini.

sinar
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Mukhriz serah notis untuk berdebat dengan Haris Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top